Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: Dua beradik jadi kebanggaan negara

PASANGAN adik beradik, Mohd Qabil Mahamad Fathil Ambak dan adiknya, Quzandria Nur mencipta kecemerlangan tersendiri apabila menghadiahkan pingat emas dan perak kepada negara dalam acara dressage individu di Horseshoe Point, Pattaya City, semalam.

Qabil dan Quzandria yang turut cemerlang pada acara berpasukan sebelum ini adalah dua wakil negara dalam acara final semalam selepas peraturan pertandingan tidak membenarkan lebih daripada dua ekuin mewakili sesebuah negara.

Berikutan itu, Putri Alia Soraya Ahmad Shuhaimi yang turut menyertai acara berpasukan kelmarin, tidak dapat diturunkan walaupun berada di tangga keempat pusingan kelayakan pada sebelah pagi.


Dalam acara final, Qabil mencipta 70.51 mata mengatasi Quzandria di tangga kedua dengan kudanya Lewes, 67.250 mata manakala ekuin tuan rumah, Yotviriyapanit Chalermcharm memungut gangsa dengan 66.200 mata.

Bagi Qabil yang menunggang kudanya, Dexter, dia semakin yakin dengan persembahan pada final semalam selepas meraih emas pertama dalam acara berpasukan sebelum itu.

Sebelum ini, dia menghadapi sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kudanya berikutan baru saja dibeli sejak sebulan lalu menyebabkan mereka sukar untuk mencari keserasian.

"Untuk esok (hari ini) saya akan beraksi pula dalam acara showjumping berpasukan dan saya harap mampu menghasilkan keputusan sama," katanya yang akan menggunakan kuda berlainan iaitu Charming.

Emas itu juga adalah pingat ke-10 baginya dalam Sukan Sea sejak penampilan pertama pada 1995 dan tujuh daripadanya adalah kilauan emas.

Bagi pengurus pasukan, Dr S Selvarajah, pencapaian semalam adalah antara yang terbaik kerana berjaya mendapatkan emas dan perak seterusnya berada pada landasan tepat bagi mencipta sasaran empat emas kali ini.

"Jika kita boleh menyenaraikan semua peserta dalam acara itu, kita pastinya boleh meraih semua pingat ditawarkan.

"Selepas ini, kita mengharapkan mereka akan kembali ke prestasi seperti yang ditunjukkan sebelum ini dalam acara showjumping individu dan berpasukan pula sebelum menamatkan Sukan Sea dengan acara eventing," katanya.

Berita Harian

No comments: