Tuesday, December 11, 2007

Dua pesilat mara separuh akhir

DUA pesilat wanita negara Rina Jordana Adnan dan Wan Nurul Hidayu Wan Abdul Razak melangkah ke separuh akhir sekali gus menjanjikan sekurang-kurangnya pingat gangsa tatkala Malaysia turut berduka dengan kekalahan mengejut juara bertahan Abang Erdie Abang Puazan dalam kategori lelaki 50kg.

Rina Jordana melangkah ke separuh akhir untuk bertemu pesilat Singapura, Nur As'ashikin Amran esok selepas menumbangkan lawannya dari Thailand Molthira Vatanapacdee dalam kelas 50kg dengan kiraan mata 5-0.

Nurul Hidayu yang bertanding dalam kelas 55kg pula menundukkan Somphavanh Mouvang dari Laos juga dengan kiraan mata 5-0. Dia kini akan berdepan pesilat Vietnam, Hong Thi Thu untuk tiket ke final.


"Perasaan kita bercampur-campur," kata pengurus pasukan Osman Nok semalam. "Kita gembira dengan kejayaan Rina Jordana dan Nurul Hidayu tetapi pada masa sama, kecewa kerana pesilat harapan Abang Erdie tewas kepada pesilat Indonesia.

"Kita menjangkakan Abang Erdie akan menang berdasarkan kepada reputasinya selaku juara bertahan Asia Tenggara tetapi malangnya dia tidak dapat meneruskan kemaraan.

"Apapun kita berharap pesilat kita yang sudah mara ke separuh akhir akan dapat memberikan aksi baik bagi meneruskan saingan ke final dan cuba memenangi pingat emas," katanya.

Abang Erdie tunduk kepada pesilat Indonesia, Diyan Kristianto dengan kiraan mata 5-0, sekali gus meranapkan impiannya untuk mempertahankan emas dimenangi dua tahun lalu di Manila.

Turut ditunjukkan jalan keluar ialah Shuhairi Chin dalam kelas lelaki 55kg apabila tumbang kepada seorang lagi pesilat Indonesia, Supianto M Andi juga dengan kiraan mata 5-0.

Berita Harian

No comments: