Thursday, December 13, 2007

Pemanah tepati sasaran



KORAT – Skuad memanah negara berjaya menambah emas menerusi pasukan recurve lelaki pada hari terakhir saingan di Padang 2, Universiti Teknologi Suranaree di sini, semalam tetapi kejayaan itu masih gagal membantu Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Seperti dijangka, pasukan recurve lelaki semalam tidak menghampakan kontinjen negara yang semakin terdesak mencari emas apabila menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir.

Gandingan Cheng Chu Sian, Muhammad Marbawi Sulaiman dan Wan Mohd. Khalmizam Wan Abd. Aziz mengumpul 213 mata berbanding Indonesia 211 mata. Pingat gangsa dimenangi Filipina.

Malang bagi Malaysia yang sepatutnya mampu menambah satu lagi pingat emas tetapi gagal melakukannya apabila pasukan recurve wanita tewas pada perlawanan akhir kepada Indonesia.

Gandingan S. Anbarasi, Irza Hanie Abu Samah dan Noor Azira Taip hanya mampu mengumpul 198 mata berbanding Indonesia 204 mata. Gangsa menjadi milik Thailand.

Sebelum ini, pingat emas pertama negara dalam acara memanah disumbang oleh Chu Sian dalam acara individu recurve lelaki, kelmarin.

Pengurus pasukan, Muhammad Yazid Yahya berkata, pihaknya gembira dengan pencapaian itu kerana ia memenuhi sasaran NAAM tetapi sedikit kecewa kerana gagal mendapat emas bonus daripada pasukan recurve wanita.

Malaysia turut memenangi pingat gangsa dalam acara compound lelaki berpasukan.

“Apa pun kami berjaya mengulangi kejayaan pasukan recurve lelaki yang pernah menang emas pada Sukan SEA 2003 di Vietnam,” ujarnya.

Pada temasya di Filipina dua tahun lalu, pasukan recurve lelaki hanya memenangi pingat gangsa tetapi keseluruhannya berjaya membawa pulang tiga emas menerusi individu compound lelaki, recurve wanita berpasukan dan compound lelaki berpasukan.

– Utusan

No comments: