Tuesday, December 11, 2007

Berakhirnya impian FAM

RIWAYAT skuad bola sepak negara - yang tegas melaungkan sasaran mahu membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Sea kali ini - berkubur lebih awal tanpa mampu menjengah muka ke peringkat separuh akhir buat kali pertama sejak 1999.


Realiti perit hampa itu terhasil apabila skuad bimbingan B Sathianathan hanya seri 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B dengan Singapura di Stadium Universiti Teknologi Sarawanee, sekali gus membenarkan republik itu dan Vietnam meneruskan kemaraan.

Malaysia tersungkur di tangga ketiga dengan empat mata - selepas sebelumnya menang 4-0 ke atas Laos. Vietnam mara selaku juara kumpulan dengan enam mata, diikuti Singapura yang memperolehi lima mata selepas dua seri dan satu kemenangan.


Apa yang membingungkan, Sathianathan ibarat terlupa janji apabila melahirkan rasa puas hati dengan keputusan itu kerana baginya, ‘pasukan ini menunjukkan peningkatan.’

“Saya berpuas hati dengan keputusan ini kerana meskipun kita gagal melayakkan diri ke separuh akhir, pasukan ini menunjukkan peningkatan.

“Saya akui perlawanan ini bukan mudah, terutama ketika kita terpaksa bermain dalam cuaca panas. Malah, kita punya beberapa peluang yang gagal dimanfaatkan, terutama pada lima minit terakhir permainan,” katanya.

Kenyataan itu jelas sukar diterima tanpa gelengan kepala kerana Sathianathan dan barisan pemain sebelumnya akur betapa hanya kemenangan mampu jadi keputusan yang boleh diterima.

Lagipun, Singapura - lawan turut bermain dalam keadaan cuaca panas sama - memang diketahui sejak awal lagi tidak akan memberi laluan mudah. Situasi itu ketara apabila lawan mengamal corak aksi keras dan memaksa barisan negara banyak berkubu di kawasan sendiri.

Nasib malang Malaysia hampir hadir lebih awal apabila Singapura beroleh sepakan penalti pada minit ke-37. Nasib baik penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein tepat mengagak untuk menyelamatkan rembatan Khairul Amri.

Menyedari pemain negara tertekan, Singapura menggandakan asakan pada babak kedua. Tetapi Malaysia pula berjaya mendahului apabila bola sepakan percuma Sumardi Hajalan ditanduk cantik Mohd Amirul Hadi ke sasaran pada minit ke-70.

Kelekaan pemain-pemain kerana ‘sudah mempamer peningkatan’ akhirnya menghukum skuad negara apabila pemain gantian, Agu Casmir menyamakan kedudukan buat Singapura pada minit ke-79.

Dengan keputusan terikat 1-1 hingga akhir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin - turut hadir menonton perlawanan - mungkin sukar untuk memahami ‘peningkatan’ yang disaksikan Sathianathan itu.

Berita Harian

No comments: