Tuesday, December 11, 2007

Emas kita tambah berkilau


MOHD. Rizal Tisin menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia dalam lumba basikal trek selepas memenangi acara 1km ujian masa di Korat, semalam.

KORAT – Kemampuan kontinjen negara untuk memenuhi sasaran 64 pingat emas pada Sukan SEA ke-24 semakin meyakinkan apabila menambah sembilan lagi emas semalam, dan hari ini mereka dilihat memiliki prospek yang baik untuk memenangi sekurang-kurangnya 13 acara.

Semalam, olahraga menyumbangkan emas kelimanya di Korat dengan merangkul dua lagi pingat, salah satunya beserta rekod baru Sukan SEA.

Atlet berusia 19 tahun, Rayzam Shah Wan Sofian melakar kejutan dengan memenangi acara 110 meter berpagar menerusi rekod Temasya, 13.91 saat, mengatasi catatan lama 13.92s milik pelari Thailand, Suplan Wongshriphuck yang dibuat di Vietnam 2003.

Siti Shahida Abdullah menghadiahkan emas kedua Malaysia dalam acara baling tukul besi, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada dua temasya terakhir.

Hari ini, olahraga dijangka terus menjadi lubuk emas Malaysia pada hari terakhir acara itu, dan prospek mereka bakal diketuai juara Asia, Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki).

Malah, Ngew Sin Mei akan turun memburu kejuaraan hatrik dalam lompat kijang wanita, manakala Yuan Yufang menjadi pilihan utama untuk memenangi acara 10,000 meter wanita.

Sementara itu juara Piala Asia, Rizal Tisin memberikan pingat emas pertama daripada enam yang disasarkan lumba basikal apabila menjuarai acara 1 kilometer ujian masa, semalam.

Hari ini, lumba basikal diletak sebagai pilihan utama dalam empat acara akhir, bermakna mereka berpotensi menambah empat lagi pingat emas dalam acara trek.

Rizal akan mengetuai cabaran Malaysia dalam acara pecut individu bersama jaguh dunia, Josiah Ng, malah kedua-dua pelumba juga berkedudukan baik untuk membawa Malaysia muncul juara pecut berpasukan.

Pasukan negara turut menjadi pilihan untuk memenangi acara kejar-mengejar berpasukan lelaki, selain meletakkan harapan tinggi kepada pelumba berusia 19 tahun, Fatehah Mustapha untuk memenangi acara 200m pecut wanita.

Sementara itu gimnastik menghadiahkan dua emas dalam acara artistik menerusi Chan Sau Wah (palang bertingkat wanita) dan Ooi Wei Siang (palang lintang lelaki), namun mereka tidak berpeluang menambah pungutan pingat kerana acara tersebut sudah berakhir semalam.

Ekusterian, yang mengutip emas ketiga berturut-turut daripada acara show jumping berpasukan semalam, sebaliknya berada pada landasan terbaik untuk merangkul emas keempat dalam show jumping individu hari ini. Qabil Ambak Mahamad Fathil sekali lagi menjadi pertaruhan.

Boling pada dasarnya turut diletakkan sasaran untuk menambah pungutan emas apabila turun dalam acara berpasukan, yang merupakan acara yang didominasi Malaysia sejak sekian lama.

Selepas memberikan emas dalam acara trio semalam, Shalin Zulkifli, Esther Cheah dan Zatil Iman Abdul Ghani akan berganding lagi memburu emas berpasukan wanita, malah, jika mempamer aksi terbaik, skuad lelaki juga memiliki prospek untuk menghadiahkan emas menerusi Aaron Kong, Adrian Ang, Zulmazran Zulkifli, Alex Liew dan Daniel Lim.

Wusyu menutup kempen Sukan SEA dengan memenuhi sasaran untuk membawa pulang dua pingat emas di Korat apabila meraih emas kedua menerusi Diana Bong dalam Nanquan wanita semalam.

Skuasy pula menyaksikan penguasaan penuh Malaysia apabila dua pemainnya, Elvin Keo dan Mohd. Nafzahizam Adnan bertemu sesama sendiri pada perlawanan akhir. Elvin menang 10-8, 4-9, 9-4, 5-9, 9-4.

Turut menjadi tumpuan hari ini pastinya di kolam renang, di mana perenang remaja sensasi, Daniel Bego menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraannya dalam acara 200m kuak kupu-kupu dan 200m gaya bebas.

Khoo Cai Lin, yang berjaya memecah rekod Sukan SEA dalam acara 800m gaya bebas kelmarin, turut menjadi tumpuan dalam acara 200m kuak kupu-kupu wanita.

Selepas mengharungi empat hari Temasya, kontinjen negara kini menduduki tangga keempat pungutan pingat keseluruhan dengan memenangi 24 emas, 21 perak dan 45 gangsa.

Thailand terus mengungguli saingan dengan 78 emas, 75 perak dan 60 gangsa, diikuti Vietnam (41-22-46) dan Singapura (32-26-22).

Utusan

No comments: