Wednesday, December 12, 2007

Sukan Sea: Diana pelengkap

DIANA Bong melengkapkan sasaran skuad wushu apabila meraih pingat emas dalam acara Nanquan wanita di arena Institut Teknologi Chanapolkhan, Korat, semalam.

Seorang lagi peserta Malaysia, Tai Cheau Xuen yang membuat penampilan sulung pada temasya dwitahunan ini, mengiringi Diana dengan meraih pingat gangsa.

Kelmarin, Chai Fong Yin meraih emas acara Taijiquan-Taijijian dan kemenangan semalam, dianggap sebagai hari gembira untuk skuad wushu.


Bagaimanapun, Diana menyatakan dia sedikit kecewa dengan kemenangan itu apabila terpaksa berkongsi emas dengan peserta Vietnam, Vu Thuy Linh.

Acara yang dimenangi itu membabitkan tiga disiplin dan Diana meraih 9.27 mata dalam acara Nanquen, Nanquan (9.42) dan Nandao (9.43) bagi mengumpul 28.12 mata, jumlah mata yang turut diraih peserta Vietnam.

"Memang saya gembira dapat menyumbang emas kepada negara tetapi sedikit terkilan kerana emas yang diraih terpaksa dikongsikan bersama atlit Vietnam.


"Saya mengharapkan kemenangan mutlak dalam acara ini dan berusaha bersungguh-sungguh tetapi apa nak dibuat kerana dia juga hebat memberikan saingan," katanya yang meraih perak pada Kejohanan Wushu Dunia di Beijing, bulan lalu.

Pada Sukan Asia di Doha, Diana juga meraih gangsa dalam acara ini.

Sementara itu, jurulatih Wushu, Woong Thong Foong berkata saingan dalam kategori ini nyata sengit ketika perhatian lebih menjurus kepada peserta Vietnam itu.

"Sebelum turun ke gelanggang hari ini (semalam) kita memberi suntikan semangat kepadanya dan nyata dia berjaya menyerap tekanan untuk meraih mata," katanya.

Berita Harian

No comments: