Tuesday, December 11, 2007

Dressage janjikan emas

SELEPAS cemerlang memungut emas pada penampilan pertama dalam acara berpasukan kelmarin, kini skuad dressage negara sekali lagi mahu membuktikan mereka adalah jaguh di Sukan Sea Korat pada aksi final individu di Horseshoe Point, Pattaya City, hari ini.

Tiga ekuin negara berada pada kedudukan teratas kelayakan untuk acara final hari ini menerusi Mohd Qabil Mahamad Fathil Ambak, adiknya Quzandria serta Putri Alia Soraya Ahmad Suhaimi.

Final hari ini juga akan menjadi medan buat Qabil mencari pingat ke-10 miliknya dalam Sukan Sea sejak penampilan pertama pada 1995 dan enam daripadanya adalah kilauan emas.


Menerusi acara kelayakan semalam, hanya lapan peserta terbaik akan beraksi di final dengan seorang lagi ekuin Malaysia iaitu Diani Lee Cheng Ni gagal layak selepas menamatkan kelayakan di tangga kesembilan.

"Saya harap pasukan negara akan menguasai dua tempat teratas dan saya mahu cuba mendapatkan empat emas buat negara kali ini.

"Selepas aksi pertama dalam acara berpasukan, saya lihat Thailand kurang menyerlah walaupun beraksi di tempat sendiri dan kami perlu meneruskan prestasi sebegini," katanya.

Dalam acara berpasukan kelmarin, Qabil berkedudukan kedua di belakang Putri Alia dan dia menjelaskan, kudanya Dexter masih belum benar-benar serasi dengannya kerana ia baru dibeli sebulan lalu khusus untuk acara berkenaan.

"Saya mahu mencipta hatrik dalam acara ini selepas menang pada 2001 dan 2005. Pada 1995 saya hanya meraih gangsa. Apapun saya harap dua peserta negara akan berada di kedudukan teratas," katanya.

Sementara itu, Putri Alia tidak mahu meramal sama ada dia akan kembali menampilkan prestasi terbaik hari ini.

"Anda perlu merasa sendiri apa yang akan berlaku pada hari pertandingan. Saya tidak boleh kata saya akan mengatasi Qabil tetapi saya akan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Berita Harian

No comments: