Tuesday, December 11, 2007

Gandingan Esther, Zatil gegar

EMAS akhirnya menjadi milik negara di lapangan bowling apabila juara dunia, Esther Cheah dan pemain muda, Zatil Iman Abd Ghani menguasai acara beregu di SF Strike Bowl, Bangkok, semalam.


Esther dan Zatil mendahului sejak permainan kedua tetapi hanya memiliki kelebihan satu jatuhan pin ke atas gandingan Thailand, Kunaksorn Saowapha dan Netriviseth Angkana pada permainan keenam dan terakhir.

Pasangan Thailand itu, bagaimanapun gagal menahan tekanan apabila melakukan kesilapan berbanding Esther yang mencipta empat 'strikes' bagi membantu Malaysia memungut emas dengan catatan 2,438 mata.


Thailand meraih perak dengan 2,387 mata manakala gandingan Siti Safiyyah Amirah Abdul Rahman dan Shalin Zulkifli yang melakukan 1,951 jatuhan pin, meraih gangsa.

"Ini adalah sebagai balasan terhadap kekecewaan dalam acara perseorangan sebelum ini. Jurulatih sudah memberitahu kami mengenai persembahan kami malam tadi dan ia menyedarkan kami," kata Esther.

Esther menjelaskan, dia sendiri tidak mengetahui mereka mendahului dengan hanya satu pin kerana jurulatih tidak mahu memberikan tekanan kepada mereka.

Bagi Zatil yang kali pertama beraksi di Sukan Sea, dia rasa tertekan terutama pada saingan terakhir tetapi dinasihatkan jurulatih untuk terus bermain dengan caranya sendiri.

"Dengan sokongan rakan-rakan, saya gembira kami akhirnya berjaya menang emas kali ini," katanya.

Dalam acara beregu lelaki sebelum itu, Zulmazran Zulkifli dan Aaron Kong mencipta 2,464 jatuhan pin untuk sekadar pingat gangsa.

Pasangan Thailand, Yakasem-Annop Aromsaranon (2,521) meraih emas manakala perak menjadi milik Somjed Kusonphitak-Yannaphon Larpapharat, juga dari Thailand dengan 2,503 jatuhan pin.

Berita Harian

No comments: