Tuesday, December 11, 2007

4x400m jadi penyelamat

EMPAT anak muda Malaysia - Mohd Zafril Mohd Zuslaini, Mohd Zaiful Zainal Abidin, S Thipan dan K Amran Raj - menampilkan larian penuh bersemangat untuk menggegar balapan Stadium Utama Kompleks Sukan Ulangtahun ke-80 Raja Thai dalam langkahan memenangi emas acara 4x400 meter lelaki, semalam.

Ia larian menakjubkan daripada kuartet itu bagi mengangkat kesuraman olahraga Malaysia yang pada satu ketika tampak akan meneruskan kemarau emas selepas dua hari kejohanan.

Catatan kemenangan 3 minit 07.95 saat menyaksikan kuartet itu kembali memenangi emas 4x400 meter yang kali terakhir dimenangi rangkaian pelari diteraju Romzi Bakar di Jakarta pada 1997, sekali gus menafikan peluang Thailand yang menduduki tempat kedua dengan 3:08.26 saat dan Filipina ketiga 3:08.53.


"Kami sungguh gembira kerana dapat melaksanakan tugas untuk meraih emas pertama Malaysia dalam olahraga," kata Zafril, pelari pertama negara yang bermula cemerlang di depan sebelum menyerahkan baton kepada Zaiful.

"Saya puas hati dengan larian dan saya rasa semua menampilkan larian cemerlang."

Bagi Zaiful, kemenangan emas itu tampak menghilangkan beban yang dipikulnya selepas gagal dalam dalam 400m pada temasya Kuala Lumpur 2001 dan Hanoi 2003.

"Saya lega kerana akhirnya saya berjaya juga memenangi emas serta membantu kuartet 4x400 meter," kata Zaiful "Kini tiada lagi beban di bahu saya," katanya yang hampir dipintas pelari Thailand sebelum memberi baton kepada Thipan.

"Ini kejayaan terbaik kami," kata Thipan. "Walaupun dicabar hebat kami tidak pernah putus asa dan sentiasa positif untuk memastikan tidak terlepas emas."

Begitu juga dengan pelari terakhir Amran Raj, yang pantas meninggalkan lawan walaupun dia sendiri sudah kehabisan tenaga.

"Memang tenaga saya sudah habis tetapi saya memaksa diri saya memberikan segala-galanya," kata Amran Raj. "Walaupun Thailand semakin hampir tetapi saya sentiasa yakin dengan kemenangan."

Selain emas tunggal semalam, Malaysia turut memenangi dua gangsa satu daripadanya melalui melalui Ngiew Sin Mei dalam lompat jauh wanita dengan jarak 6.08m. Emas dimenangi atlit Filipina, Marestella Torres dengan catatan 6.31m dan kedua Thitima Muangjan dari Thailand manakala Siti Zubaidi Adabi menduduki tempat kelima.

Mohd Jironi Riduan memberi gangsa kedua dalam acara 800m dengan masa 1:53.30s, catatan peribadi terbaiknya.

Dalam acara 3,000m lari berhalangan, S Vikram menduduki tempat keenam, Norliyana Kamaruddin kelima dalam lompat tinggi dan Yao Jeng Tzan menduduki tempat keenam dam lempar cakera wanita.

Berita Harian

No comments: