Tuesday, December 11, 2007

Shalin sekadar raih gangsa

"SAYA sama sekali tidak menyangka akan menang kali ini," kata juara perseorangan wanita acara bowling yang membuka tirai pertandingan di SF Strike Bowl, Ramkhamheng, Bangkok, semalam.

Walaupun kurang ternama berbanding barisan bintang bowling wanita negara, Tanyya Roumimper, 17, jelas lebih selesa berada di posisinya kini, ketika namanya jadi sebutan selepas memungut emas kedua buat negaranya selepas kejayaan Raja Pecut, Suryo Agung Wibowo dalam acara 100 meter kelmarin.

Tanyya berkata, ini adalah kali kedua dia bersaing di Sukan Sea selepas temasya Manila 2005 dan pada penampilan kali ini dia amat bertuah kerana berupaya memenangi emas.


Dia mencatat keseluruhan 1,244 jatuhan pin untuk muncul juara manakala peserta Thailand, Angkana Netrviseth meraih perak manakala ratu bowling negara, Shalin Zulkifli, gangsa.

Malah Shalin turut mengatakan Tanyya berhak menang berdasarkan persembahan terbaik pemain Indonesia itu walaupun masih baru berbanding rakan pemain dari Malaysia.

"Tanyya bermain dengan bagus hari ini dan dia sememangnya berhak menang," kata Shalin sejurus selepas berakhir pertandingan pagi semalam.

Bagi Tanyya pula, pertemuan dengan pemain Malaysia adalah perkara biasa buatnya sejak lebih lima tahun lalu bahkan dia mengakui mengenali semua pemain negara kerana sentiasa menyertai pertandingan antarabangsa bersama.

"Saya sudah mengenali Shalin, Esther (Cheah) dan ramai lagi, pemain dari Malaysia adalah antara terbaik di rantau ini," katanya.

Mula bermain bowling sejak berusia 10 tahun, Tanyya menjelaskan pada penyertaan Sukan Sea kali ini, dia bukan pemain termuda lagi buat skuad Indonesia kerana sudah ada pemain baru dalam skuad berkenan.

"Ada pemain baru dalam skuad ini yang masih berusia 13 tahun, saya harap kami akan lebih berjaya lagi selepas ini," katanya.

Berita Harian

No comments: