Wednesday, December 12, 2007

Renang raih dua emas

KORAT – Hanya dengan berlatih di bawah bimbingan ibu, Chui Lai Kwan sudah mampu ditabalkan selaku ratu kolam renang Sukan SEA apabila memenangi acara 50 meter gaya bebas renang wanita di Pusat Akuatik Ulang Tahun Raja Thailand, semalam.

Hasil bimbingan Tang Hui Hong sejak 2003 lagi, gadis Sandakan ini akhirnya menjuarai acara kemuncak renang temasya dwi tahunan Asia Tenggara ini dengan catatan 26.53 saat.

Kejayaan ini merupakan satu kejutan dan peningkatan besar baginya selepas sekadar meraih perak Sukan SEA Filipina, dua tahun lalu malah disokong dengan sebutir perak rakan senegara, Leung Chii Lin dengan catatan 26.79s.

Gangsa kepunyaan perenang Thailand, Natnapa P. Muenwai yang merakamkan 26.80s.

Lai Kwan bagaimanapun masih jauh untuk melepasi had kelayakan ke Sukan Olimpik Beijing kategori B, 26.32s selain rekod Sukan SEA, 26.13s milik Joceline Yeo dari Singapura, dua tahun lalu.

Kata Lai Kwan: “Emas ini ditujukan untuk ibu saya yang melatih saya sejak berusia 13 tahun di Sandakan. Sudah tentu saya terkejut dan tidak menyangka mampu memenangi acara utama dalam Sukan SEA.”

Sementara itu, Daniel Bego pula terus menceriakan Malaysia dengan sebutir lagi emas menerusi acara 200m gaya bebas dengan mencatatkan 1 minit 52.32s sekali gus menyamai rekod Sukan SEA milik Bryan Tay dari Singapura.

Malangnya, cuma sebutir gangsa menjadi milik perenang dari Miri, Sarawak ini dalam acara 200m kuak kupu-kupu dengan catatan 2:03.97s selepas kalah kepada perenang Filipina, James Walsh (2:00.45s) dan Nigel Lim dari Singapura (2:00.81s).

Daniel berkata: “Saya tidak memikirkan berapa banyak emas atau sebarang pingat yang diraih di sini tetapi yang penting saya dapat mempertahankan dua emas yang dimenangi di Filipina 2005. Itu pun sudah memadai.

“Saya perlukan rehat panjang selepas Sukan SEA. Selepas itu barulah kembali berlatih dan memikirkan persediaan ke Sukan Olimpik,” katanya.

Siow Yi Ting yang memburu hadiah hari jadinya ke-22, semalam dengan sebutir lagi emas, turut kecundang dalam persaingan 400m rampaian perseorangan kepada perenang Singapura, Quah Ting Wen.

Sebutir perak menjadi galang ganti buatnya dengan catatan 4:54.11s berbanding Ting Wen, 4:53.90s manakala seorang lagi perenang negara, Lew Yih Wey yang meraih gangsa, merakamkan 4:55.86s.

Seorang lagi perenang wanita, Hii Siew Siew turut menyumbangkan sebutir gangsa 200m kuak kupu-kupu sambil mencatatkan 2:20.71s dalam acara yang dimenangi perenang Singapura, Tao Li.

– Utusan

No comments: