STATUS lawan lebih senior tidak diendahkan Elvinn Keo yang memastikan pingat emas acara skuasy miliknya selepas menewaskan rakan senegara, Nafzahizam Adnan dalam perlawanan akhir di Ratchaphruek Club, Bangkok, semalam.
Namun dalam pertemuan yang sudah menjamin emas dan perak untuk negara, Elvinn jelas dipaksa bekerja keras dan menangani masalah kekejangan otot sebelum mampu menundukkan Nafzahizam 3-2.
Set pertama menyaksikan saingan sengit sebelum Elvinn menang 10-8 tetapi Nafzahizam menggunakan pengalamannya untuk bangkit dan mengikat kedudukan selepas memenangi set kedua, 9-4.
Aksi lebih kemas dijelmakan Elvinn pada set ketiga untuk menang 9-4 tetapi semangat melawan kental Nafzahizam menyaksikannya terus memaksa aksi berlanjutan dengan kemenangan 9-5 pada set keempat.
Penentuan pemenang dalam aksi penuh debaran itu akhirnya memihak kepada Elvinn dengan kemenangan 9-4 walaupun dia nyata sudah tidak bermaya dan mengalami kekejangan otot.
"Dia (Nafzahizam) bermain dengan baik, ia perlawanan yang lama dan memenatkan dengan saya terpaksa mengerah segala tenaga. Sudah semestinya saya amat gembira dengan kemenangan ini," kata Elvinn.
Kemenangan itu tambah manis kerana ia adalah penyertaan sulung Elvinn di pentas Sukan Sea dan dia sendiri tidak menyangka dapat menewaskan rakan sepasukan itu yang jauh lebih berpengalaman.
"Ini adalah pencapaian terbesar saya tahun ini. Ia bukan saingan berat sebelah. Cuma mungkin saya berusaha lebih sedikit dan berjaya menghasilkan kemenangan," katanya.
Berita Harian
1 comment:
malaysia boleh !!!! this young talented boy should be given more international exposure and proper guidance so as to gain more experience and mentally prepared to play in higher level tournament. Syabas!!! to NSC,OCM AND SRAM Keep up the good work.
Post a Comment