|
|
KORAT – Majlis Sukan Negara (MSN) masih belum menunjukkan tanda-tanda cemas walaupun saingan di peringkat awal mula tersasar serta berita terbaru beberapa atlet prospek emas cedera di saat akhir menghantui sasaran 64 pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya Sukan SEA ini.
Sebaliknya ketua pengarahnya, Datuk Zolkples Embong tetap yakin kontinjen negara masih mampu melepasi lebih 60 pingat emas dengan mengharapkan beberapa keajaiban berlaku selepas ini.
“Saya masih berkeyakinan kita mampu mencapai sasaran itu walaupun menembak sudah tersasar dan ada berita atlet prospek emas cedera di saat-saat akhir.
“Olahraga saya harapkan dapat melakukan sesuatu yang lebih baik. Begitu juga berbasikal yang tampak berupaya melepasi sasaran enam emas. Masih terlalu awal untuk mengatakan, sasaran kita telah gagal dicapai,” katanya selepas melawat latihan skuad memanah di Universiti Teknologi Suranaree di sini.
Menembak yang sudah pun menutup saingan di Bangkok sejak empat hari lalu hanya meraih dua emas daripada empat yang disasarkan.
Sebelum itu, kontinjen negara dianggap sudah kehilangan beberapa pingat emas lebih awal lagi berikutan kecederaan yang menimpa tiga atlet prospek emas negara dalam olahraga iaitu Shahdan Jamaluddin (400m lari berpagar lelaki), Robani Hassan (110m lari berpagar) dan Noraseela Khalid (400m lari berpagar wanita).
Terbaru, Zolkples mengesahkan Bryan Nickson Lomas (terjun), Wong Mew Choo dan Chin Eei Hui (badminton wanita) mengalami kecederaan yang boleh mengakibatkan mereka terpaksa menarik diri di saat akhir.
“Saya masih menunggu laporan daripada Institut Sukan Negara (ISN) tentang tahap kecederaan mereka dan akan mengumumkan sama ada mereka boleh beraksi atau tidak sedikit masa lagi,” jelasnya.
Bryan cedera di bahagian tumit kaki sewaktu menjalani latihan. Mew Choo pula cedera di lutut yang semakin serius yang diperolehinya ketika beraksi di Terbuka China yang menyaksikan dia muncul juara perseorangan wanita.
Eei Hui pula yang bergandingan dengan Wong Pei Tty dalam acara beregu wanita yang diletakkan harapan tinggi untuk membawa pulang pingat menerusi acara individu cedera di bahagian tulang belakang yang dikatakan retak.
“Masalah kecederaan ini memang tidak boleh dielakkan. Ada di antaranya merupakan kecederaan lama yang kembali berulang. Jadi kita tidak boleh paksa atlet beraksi dalam keadaan seperti ini,” tegas Zolkples.
– Utusan
No comments:
Post a Comment