Tuesday, December 4, 2007

PSM berdepan hukuman tatatertib

KORAT - Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) mungkin mengenakan tindakan tatatertib ke atas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang menarik diri pada saat akhir, Khamis lalu daripada Sukan SEA Korat kerana membantah penggunaan bola baru bersalut getah, Marathon New Generation.

Sumber Istaf di sini, memberitahu, tindakan itu perlu memandangkan pengunduran Malaysia dianggap mencemarkan dan menyulitkan perancangan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Korat (Kosoc) terutama bagi acara berpasukan, antara regu dan beregu lelaki.

Kata sumber itu, penarikan diri Malaysia juga bercanggah dengan peraturan Persekutuan Sukan SEA (SGF) dan matlamat temasya dwitahunan itu yang menganjurkan semangat setiakawan dan keharmonian penggiat sukan di rantau Asia Tenggara.

Sumber itu bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada bentuk tindakan ke atas PSM yang membantah bola itu sebagai tidak selamat, melantun tidak setempat dan tidak diluluskan Istaf, bakal berupa penggantungan dalam tempoh tertentu mahupun denda sejumlah wang.

Sebelum ini, Kosoc turut melucutkan jawatan juri daripada Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahya manakala tiga pengadil Malaysia yang dipilih untuk bertugas pada Sukan SEA Korat, digantikan dengan pegawai dari negara lain.

Malah, Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader dan Bendaharinya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Boonchai Lorhpipat enggan mengulas mengenai bentuk tindakan tersebut ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Kosoc yang dipengerusikan oleh Presiden Istaf, Jen. Charouk Arirachakaran telah mengarahkan supaya kedudukan negara yang bertanding di Korat, diubah suai mengikut peraturan SGF selain mengatur semula jadual perlawanan terutama yang melibatkan Malaysia .

Sepak takraw di Korat akan membuka tirainya di Dewan MCC, The Mall menerusi acara gelung lelaki dan wanita, esok, namun undian Kumpulan A dan B berpasukan lelaki yang ditetapkan lebih awal tidak akan diubah oleh Kosoc.

Tanpa Malaysia yang menarik diri buat kali pertama sejak memperkenalkannya di Kuala Lumpur 1965, Kumpulan A akan kekal terdiri Thailand, Myanmar dan Vietnam manakala Indonesia, Laos dan Filipina membarisi Kumpulan B berpasukan lelaki.

Dalam perkembangan lain, Halim yang juga Presiden Astaf berkata, Kosoc sedang menimbangkan untuk memperkenalkan anugerah khas seperti Tekong Terbaik, Pelibas Terbaik dan Pengumpan Terbaik serta Pemain Paling Berdisiplin dalam temasya kali ini.

‘‘Kosoc juga melantik dua pengadil dari Brunei, Jambul Ahmad dan Ibrahim Amit untuk mengisi kekosongan dua jawatan dalam mengendalikan Sukan SEA Korat akibat penarikan diri tiga pengadil Malaysia,” katanya.

– Utusan

No comments: