Monday, December 10, 2007

Hari gemilang Malaysia

KORAT – Kontinjen Malaysia mengharungi hari paling cemerlang sejak Sukan SEA 2007 bermula tiga hari lalu apabila merangkul lapan pingat emas semalam, sekali gus mencerahkan kembali hasrat membawa pulang 64 emas dari Thailand.

Malah, kolam renang menambahkan kecemerlangan dengan memecah dua rekod Temasya menerusi Khoo Cai Lin (800 meter gaya bebas wanita) dan Daniel Bego dalam 100m kuak kupu-kupu lelaki.

Olahraga, renang dan ekuestrian sekali lagi menambah kutipan emas Malaysia, manakala boling, wusyu dan triatlon memahat nama sebagai penyumbang buat kali pertama, s
eterusnya meredakan kebimbangan mengenai kelembapan pungutan pingat negara.

Tambahan lapan emas ini meletakkan Malaysia kekal di tangga kelima kedudukan pingat dengan 15 emas, 14 perak dan 30 gangsa, masih jauh di belakang Thailand (65-58-40). Vietnam di tempat kedua dengan 28-13-39, diikuti Singapura (23-19-14) dan Filipina (16-25-43).

Semalam, Teoh Boon Lim dan Yan Yufang memastikan Malaysia terus mendominasi acara jalan kaki apabila memberikan gelaran berganda dalam acara 20 kilometer lelaki dan wanita.

Meski pun sudah enam tahun tidak beraksi di Sukan SEA, kepulangan Boon Lim tiba tepat pada masanya apabila memastikan emas kekal milik Malaysia selepas juara dua kali, Mohd. Shahrulhaizy Abdul Rahman dibatalkan penyertaan, 2km sebelum tamat perlumbaan.

Yufang pula merangkul pingat emas Sukan SEA kali keenam, dan emas kelima dalam acara 20km jalan kaki selepas mencatat masa 1'41:47.

Sementara itu, Cai Lin dan Daniel memastikan renang terus menjadi penyumbang setia emas Malaysia sejak memulakan saingan Khamis lalu dengan menjuarai acara 800 meter gaya bebas wanita dan 100m kuak kupu-kupu lelaki.

Cai Lin, 19, bukan saja merangkul emas kedua berturut-turut, malah memecah rekod 10 tahun milik Intaporn-Udom dari Thailand dengan masa 8 minit 47.80 saat, memadam rekod lama 8:56.88s. Catatan itu juga memadam rekod kebangsaan milik Nurul Huda Abdullah yang dilakukan pada 1988 di Canton, China.

Daniel pula mencatat 54.33s, mengatasi masa Lim Keng Liat 55.04s yang dilakukan pada Sukan SEA Vietnam 2003.

Renang merupakan penyumbang emas terbesar Malaysia setakat ini dengan lima emas, manakala olahraga telah menyumbangkan tiga emas, diikuti ekuesterian dan menembak dengan dua emas.

Wusyu pula lega apabila satu daripada dua emas yang disasarkan berjaya diraih semalam menerusi Chai Fong Ying dalam acara Taijiquan wanita. Malah, Malaysia mendominasi 1-2 acara ini dengan turut meraih perak menerusi Ng Shin Yii.

Pasangan adik-beradik, Qabil Ambak Mahamad Fathil dan Quzandria Nur Mahamad Fathil turut cemerlang di arena ekuestrian dengan mencatat kemenangan 1-2 dalam dressage individu.

Boling yang mensasarkan empat emas di Bangkok pula mula menuai emas menerusi kombinasi remaja, Eshter Cheah dan Zatil Iman Abdul Ghani dalam beregu wanita. Malah, mereka turut meraih gangsa daripada Shalin Zulkifli dan Siti Safiyah Abdul Rahman serta beregu lelaki, Zulmazran Zulkifli-Aaron Koh.

Wanita besi negara, Kimbeley Yap pula memastikan penguasaan berterusan dalam triatlon apabila mempertahankan emas yang dimenangi di Manila dua tahun lalu, sekali gus menyuntik semangatnya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2008.

Selain cemerlang dengan menuai lapan emas, Malaysia turut menambah lima pingat perak dan sembilan pingat gangsa.

Begitu pun, ketiadaan juara Terbuka China, Wong Mew Choo dan pasangan nombor sembilan dunia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui menyaksikan kempen badminton wanita berpasukan negara tamat dengan kekalahan 2-3 kepada Singapura di separuh akhir.

Barisan pelapis Malaysia juga gagal bersaing dalam berpasukan lelaki apabila turut tunduk kepada Singapura, 1-3.

Hari ini, kontinjen Malaysia dijangka terus menunai emas yang besar apabila beberapa atlet prospek daripada acara olahraga, renang dan lumba basikal trek turun ke trek.

Di lapangan olahraga, Malaysia memiliki sekurang-kurangnya tiga prospek emas menerusi Siti Shahidah Abdullah (baling tukul besi), Moh Siew Wei (100m berpagar wanita) dan Muhd. Faiz Muhammad dalam 110m berpagar lelaki.

Lumba basikal juga dijangka menjadi penyumbang emas apabila juara Asia, Rizal Tisin dan Uracca Leow akan memulakan saingan, malah Malaysia dianggap pilihan untuk mendominasi veledrome di Korat selepas mempamer aksi cemerlang pada Piala Asia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Utusan

No comments: