Tuesday, December 4, 2007

Malaysia intai separuh akhir


DIKAWAL KETAT: Khyril (tengah) dihalang dua pemain Laos dalam saingan bola sepak Kumpulan B di Korat, semalam. Malaysia berjaya tewaskan Laos 4-0.

Saingan Kumpulan B kini begitu terbuka selepas Singapura kejutkan Vietnam 3-2

TIADA istimewanya dalam corak permainan Malaysia dengan anak buah B Sathianathan melakukan secukupnya untuk melakarkan kemenangan besar 4-0 ke atas Laos dalam Kumpulan B, sekali gus menghidupkan kembali harapan mengintai peluang ke separuh akhir Sukan Sea XXIV.

Seperti biasa, Malaysia menyukarkan diri sendiri dengan persembahan kurang mantap apabila gagal meruntuhkan kedegilan pertahanan Laos sehingga pada minit ke-67 apabila tandukan pemain tengah Mohd Amirulhadi Zainal memberi kelegaan dan membuka laluan kemenangan Malaysia.

Namun, saingan Kumpulan B begitu terbuka dengan kemenangan mengejut 3-2 Singapura ke atas Vietnam, sekali gus memerlukan Malaysia mengalahkan jiran selatannya dalam perlawanan terakhir Sabtu ini jika mahu layak ke separuh akhir.


Malaysia menguasai sepenuhnya babak pertama tetapi gagal menterjemahkan dominasinya kepada gol dengan Laos bertahan hebat hingga kadang kali meletakkan sehingga sembilan pemain berkubu di depan gawang dengan hanya Khampeng Sayavuthi berada di depan.

Tiga peluang dimiliki Malaysia bermula minit ke-25 apabila tandukan penyerang Mohd Zaquan Abd Radzak dikeluarkan atas garisan gol oleh kapten Laos, Liemvisay Chandelaphone, disusuli dengan lorongan leret Sumardi Hajalan gagal ditolak masuk Chun Keng Hong yang jelas menceritakan ketumpulan penyudah Malaysia.

Zaquan turut berpeluang tetapi rembatan kencang dari luar petak penalti selepas tolakan cantik Safee, ditampan penjaga gol Toulakham Sitthidapong.

"Saya lega dengan kemenangan tetapi tidak puas hati dengan permainan anak buah saya," kata Sathianathan. "Masih banyak kepincangan terutama pertahanan yang masih goyah serta kegagalan menyempurnakan peluang dalam babak pertama.

"Tetapi pemain saya terus mencuba dan menggunakan kedua-dua sayap untuk membuka peluang kepada penyerang dan akhirnya mereka berhasil memecahkan pertahanan lawan.

"Kini saya mempunyai rehat lima hari untuk pemain kembali memulihkan kecergasan serta merawat kecederaan sebelum turun menentang Singapuran," katanya.

Permulaan babak kedua juga tidak mengikut kehendak Malaysia dan dalam kekecewaan itu, Zaquan membentes pemain Laos dan dilayangkan kad kuning, sekali gus tidak akan beraksi dalam perlawanan penentuan 8 Disember ini.

Bagaimanapun, Malaysia terus menggadakan asakan yang membuahkan hasil pada minit ke-67 apabila Mohd Amirulhadi Zainal melompat tinggi menanduk masuk hantaran pemain gantian Mohd Kyril Muhaimeen.

Jaringan itu menenangkan perasaan kesebelasan Malaysia dan ia mula membuka ruang di bahagian pertahanan Laos apabila mereka mengatur gerak mencari gol penyamaan dan kesempatan ini Malaysia untuk menambah gol kedua melalui tandukan Safee pada minit ke-75.

Dua gol lagi pada minit ke-84 melalui rembatan leret Safiq Rahim dan sepakan kencang Safee pada minit akhir permainan ketika Laos bermain dengan 10 pemain selepas Khovanh Namthavixay dibuang padang, menjadikan jurang kemenangan lebih meyakinkan.

Berita Harian

No comments: