Wednesday, December 5, 2007

Malaysia jadi penghasut: Halem


APA MASALAH: Abdul Halem Kader menunjukkan bola yang menjadi punca penarikan diri Malaysia dan Myanmar pada sidang media di Korat, petang semalam.

Presiden Astaf akui Boonchai adalah pemilik syarikat pengeluar bola Marathon Gen II

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (Astaf) semalam buat pertama kali secara terbuka mengakui Setiausaha Agungnya, Boonchai Lohrphipat adalah pemilik syarikat pengeluar bola yang digunakan di Sukan Sea, Korat dan pada masa sama mendakwa Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menghasut negara lain supaya membantah penggunaan bola itu.

"Ya," kata Presiden Astaf, Abdul Halem Kader ketika ditanya apakah setiausaha agungnya itu adalah pemilik syarikat bola jenis Marathon Gen II 903/904 yang mahu digunakan pada Sukan Sea kali ini � bola yang menjadi punca PSM menarik diri daripada temasya dwitahunan itu kerana didakwa diluluskan tanpa menuruti garis panduan.

"Biarpun Boonchai berada dalam Astaf, ia tidak sedikitpun mewujudkan percanggahan kepentingan berkaitan keputusan penggunaan bola itu," katanya pada sidang akhbar khas menjelaskan pendirian Astaf berhubung isu berkenaan.


Turut hadir, Boochai yang juga bendahari Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Presiden Persekutuan Sepak Takraw Vietnam, Ha Kha Luan yang juga Naib Presiden Istaf serta Presiden Persekutuan Sepak Takraw Filipina, Mario Tanchanco selain Prof Charlem Chaiwatcharaporn selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Istaf.

Halem juga berkata, Astaf menyerahkan kepada Persekutuan Sukan Sea (SGF) untuk mengambil sebarang tindakan ke atas PSM yang menarik diri daripada kejohanan ini pada saat akhir, hingga menyebabkan penganjur kelam kabut sehingga terpaksa menyusun semula jadual.

"Buat masa ini, Astaf tidak mengambil tindakan terhadap mereka tetapi terserah kepada SGF atau Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mengenakan tindakan ke atas PSM.

"Jika dilihat kepada peraturan Majlis Olimpik Asia (OCA), mereka boleh dikenakan tindakan digantung keanggotaan atau didenda kerana menarik diri," katanya pada majlis itu yang berlangsung dalam suasana tegang apabila dia diaju soalan bertubi-tubi oleh pemberita.

Malah, kenyataannya turut mencetuskan keliru apabila pada mulanya beliau menyatakan hanya Malaysia membantah penggunaan Gen II tetapi pada penghujung sidang akhbar, mengakui Vietnam, Myanmar dan Indonesia turut membangkang bola ini digunakan pada Sukan Sea kali ini.

Kenyataan itu dibuat selepas soalan diajukan kepada Kha Luan mengapa Vietnam pada mulanya membantah tetapi kemudiannya mengambil bahagian dalam kejohanan ini.

"Memang kami ada membantah penggunaan bola baru ini sejurus Kongres tamat tetapi atas semangat setiakawan Asean, kami memutuskan untuk mengambil bahagian dan tidak mahu perkara ini berpanjangan," kata Kha Luan.

Halem turut mempersoal mengapa Malaysia tidak membantah isu penggunaan bola ini ketika Kongres Istaf di Bangkok Julai lalu membincangkan isu berkenaan, malah terbabit aktif dalam perbincangan yang akhirnya meluluskan penggunaan bola baru berkenaan.

Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan PSM perlu jujur berhubung isu punca penarikan diri daripada bertanding di Sukan Sea.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong, semalam turut berkata, PSM perlu segera menyelesaikan permasalahan ini andai mahu memastikan sepak takraw dapat dikembangkan sehingga ke peringkat dunia dan dipertandingkan di Olimpik.

Berita Harian

No comments: