Wednesday, December 5, 2007

MSN kaji hala tuju PSM berikutan isu tarik diri

KORAT – Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengkaji semula hala tuju Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berikutan tindakan mereka menarik daripada bertanding pada Sukan SEA ke-24 Korat, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zolkples Embong.

Beliau berkata, kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk memajukan sukan berkenaan tetapi tindakan PSM menarik diri daripada Sukan SEA Korat amat mengecewakan kerana menganggapnya sebagai satu pelaburan yang sia-sia dan boleh menggagalkan usaha kerajaan untuk memajukan lagi sukan tersebut.

“Kita amat kecewa dengan episod ini kerana matlamat MSN dan kerajaan adalah untuk memajukan sukan sepak takraw.

‘‘Kalau mereka (PSM) tidak mahu mengambil bahagian, apa guna mereka bentuk sebuah pasukan kerana ia melemahkan semangat pemain-pemain baru yang telah berlatih lama bagi menghadapi temasya kali ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Khamis lalu, PSM mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai Sukan SEA ke-24 kerana membantah penggunaan bola baru bersalut getah, Marathon New Generation.

Sebagai negara pengasas sukan sepak takraw, beliau berkata, PSM sepatutnya tidak berbuat demikian kerana ia juga boleh menjejaskan pembangunan sukan tersebut di peringkat yang lebih tinggi.

“Mulai tahun depan, kita akan perkenalkan sistem rating. Kita akan ambil kira apa yang berlaku dalam PSM ini dalam menilai prestasi mereka,” kata Zolkples.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) Abdul Halim Kader dalam sidang akhbar yang lain berkata, tindakan PSM menarik diri daripada bertanding pada Sukan SEA kali ini merupakan sejarah hitam kerana Malaysia merupakan antara tiga negara yang berjuang memastikan acara itu diperkenalkan dalam temasya tersebut pada 1965.

“Malaysia adalah antara tiga negara selain Thailand dan Singapura yang berjuang agar acara sepak takraw dipertandingkan pada Sukan SEAP.

Beliau, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), berkata semua anggota gabungan Persekutuan Sukan SEA (SGF), menyertai acara sepak takraw walaupun sebelum ini ada desas-desus menyatakan beberapa negara akan mengikut langkah Malaysia.

“Penggunaan bola baru di Korat bukan yang pertama tetapi yang ketiga.

‘‘Sebelum ini bola baru itu digunakan semasa kejohanan di Bengkalis, Indonesia dan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Asia di Macau bulan lepas,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim turut mengesahkan bahawa pemilik syarikat pengeluar bola baru tersebut adalah Boonchai Lorhpipat yang juga Setiausaha Agung ASTAF, tetapi tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

– Bernama

No comments: