Wednesday, December 5, 2007

OCA boleh bertindak ke atas Malaysia

KORAT – Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader semalam mendakwa, mana-mana negara yang menarik diri daripada jenis sukan tertentu dalam temasya seperti Sukan SEA selepas mengesahkan pendaftaran nama, boleh didenda oleh Majlis Olimpik Asia (OCA).

Beliau mendakwa, setahunya, ada fasal tertentu dalam peraturan OCA yang menyebut bahawa penggantungan beberapa tahun juga mampu dikenakan terhadap majlis Olimpik negara berkenaan akibat penarikan diri secara mengejut.

“Saya tidak berhak bercakap tentang bentuk tindakan ke atas Malaysia yang menarik diri daripada sepak takraw Sukan SEA Korat kerana ia terserah kepada SGF (Persekutuan Sukan SEA) atau OCA. Kami akan bekerjasama rapat dengan mereka,” katanya.

Halim berkata, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Jen. (B) Charouk Arirachakaran mungkin lebih arif tentang peraturan itu memandangkan bekas pegawai Thailand itu juga merupakan Naib Presiden OCA.

“Kami serahkan kepada Charouk untuk mengetengahkannya,” katanya yang juga Setiausaha Agung Istaf pada sidang akhbar Jawatankuasa Pertandingan Sepak Takraw Sukan SEA berhubung penarikan diri Malaysia , minggu lalu di Pusat Akhbar Utama di sini semalam.

Turut hadir ialah Bendahari Istaf dan Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat yang juga pemilik syarikat Marathon – pengeluar bola pertandingan rasmi sejak Sukan SEA Singapura 1993 dan pernah mencetuskan kontroversi ketika Kuala Lumpur 2001.

Sidang itu bertujuan menjelaskan pendirian Istaf dan Astaf akibat penarikan Malaysia pada 29 November yang membantah penggunaan bola baru bersalut getah, Marathon New Generation di Korat yang didakwa tidak mendapat kelulusan Istaf selain berbahaya.

– Utusan

No comments: