Thursday, December 6, 2007

Atlit kita dihantui kecederaan


Dari kiri, Bryan Lomas, Mew Choo dan Eei Hui

Bryan Lomas, Mew Choo, Eei Hui cetus suasana tidak menentu di kem Malaysia

DI ambang Sukan Sea XXIV akan dibuka dengan rasminya hari ini, kontinjen Malaysia berterusan ditimpa malang dengan berita kecederaan beberapa atlit yang menjadi sandaran utama untuk memenangi sekurang-kurangnya empat pingat emas.

Penerjun Bryan Nickson Lomas, perseorangan badminton wanita, Wong Mew Choo serta pemain beregu Chin Eei Hui masing-masing membawa kecederaan yang menimbulkan tanda tanya mengenai penyertaan pada temasya ini kerana ketiga-tiga ini bakal menyumbangkan sejumlah empat pingat emas.

Selain itu, skuad hoki lelaki turut dilaporkan ditimpa malang dengan dua pemainnya mengalami kecederaan manakala empat pemain lagi masih terbabit dalam kejohanan hoki Trofi Juara-Juara, kemungkinan besar pasukan Sukan Sea XXIV bakal melayari saingan peringkat kumpulan dengan hanya 10 pemain.


Apakah nasib malang kontinjen negara pada ketika ini adalah petanda buruk dalam usaha Majlis Sukan Negara (MSN) mensasarkan 64 emas untuk dibawa pulang dari temasya ini?

Namun, Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples pantas menepis keraguaan itu dengan melahirkan keyakinan kontinjen negara mampu mencapai sasaran yang ditetapkan biarpun menerima tamparan.

"Tidak dinafikan kecederaan atlit utama ini menjejaskan sedikit moral kontinjen negara," kata Zolkples. "Memang kita tidak menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku tetapi ia di luar kuasa kita tetapi saya masih berkeyakinan atlit kita akan dapat mencapai sasaran melebihi 61 emas.


"Ketiga-tiga atlit yang cedera ini sememangnya sandaran utama memenangi pingat dan daripada mereka saja kita boleh memenangi empat emas tetapi malangnya sekarang mereka sudah mengalami kecederaan dan status penyertaan mereka belum dapat disahkan.

"Tetapi saya mahu kontinjen melupakan masalah yang melanda ketika ini dan menumpukan kepada persaingan yang akan bermula," kata Zolkples.

Penerjun muda Bryan yang menjadi sandaran dua emas daripada acara terjun platform dilaporkan terkoyak ligamen pergelangan kaki manakala Mew Choo pula diserang kecederaan lutut selepas beraksi cemerlang di Terbuka China apabila muncul juara perseorangan.

Terbaru membabitkan pemain beregu wanita Eei Hui, beregu yang bergandingan dengan Wong Pei Tty dengan dikatakan mengalami sakit belakang.

Sebelum ini, Malaysia sudahpun kehilangan satu pingat dalam acara olahraga apabila pelari 400 meter berpagar wanita Noraseela Khalid terpaksa menarik diri selepas disahkan mengalami kecederaan hamstring.

"Saya masih berharap terutama sekali Bryan akan dapat beraksi dalam Sukan Sea kerana saya yakin dia mempunyai cukup masa untuk pulih daripada kecederaan," kata Zolkples.

Berita Harian

No comments: