Thursday, December 6, 2007

Sukan Sea XXIV: Roslinda tekad lepasi 4.10m

Jaguh lompat bergalah negara sasar kelayakan kategori A Sukan Olimpik

KETIKA kemenangannya dalam acara lompat bergalah bukan lagi satu keraguan, Roslinda Samsu bertekad mengatasi catatan kelayakan kategori A ke Sukan Olimpik Beijing sekalipun sudah layak ke temasya itu atas tiket kategori B.

Malah seharusnya kelayakan kategori A ke Beijing menjadi matlamat Roslinda memandangkan dia sememangnya tiada tandingan di peringkat Asia Tenggara dengan pencabar terdekatnya dari Indonesia sekadar mempunyai ketinggian terbaik sekitar 3.90 meter.


Roslinda, dengan prestasi terbaik musim ini 4.32 meter, tidak seharusnya gagal melainkan dia melakukan kesilapan ataupun dilanda kecederaan.

"Atas kertas memang saya pilihan," kata Roslinda semalam. "Tetapi itu tidak bermakna saya akan menang dengan mudah kerana masih lagi perlu bertanding dengan baik dan mengelak daripada melakukan kesilapan. Bagi saya untuk menangi emas saya perlu melepasi ketinggian 4.10 meter.

"Ia mungkin tidak sukar bagi saya tetapi pada hari pertandingan macam-macam boleh berlaku termasuk keadaan angin yang agak kencang dan cuaca dingin. Semuanya boleh menjadi penentu kepada prestasi saya.

"Memang saya mahu melakukan catatan terbaik dan cuba mengejar kelayakan kategori A Sukan Olimpik. Mungkin itu menjadi insenstif paling penting buat saya ketika ini," katanya.

Atlit lompat tinggi berusia 26 tahun dari Kedah itu beraksi dalam Sukan Sea keempat dengan aksi pertama pada 2001 di Kuala Lumpur apabila meraih perak. Dua tahun kemudian di Hanoi, dia gagal dengan begitu buruk apabila gagal melepasi sebarang ketinggian.

Bagaimanapun, selepas dua kekecewaan itu, dia bangkit untuk memenangi emas di Manila dan kini di Korat, dia turun selaku atlit pilihan.

Roslinda berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing di bawah kategori B tetapi tidak layak mendapat imbuhan Skim Insentif Sukan Olimpik kerana Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mengiktiraf kategori B sebagai kelayakan berdasarkan merit.

Roslinda, melakukan 4.30m pada kejohanan Jemputan Kazakhstan pertengahan bulan ini, untuk menyamai syarat kelayakan kategori B kelayakan Olimpik ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Berita Harian

No comments: