Thursday, December 6, 2007

Sukan Sea XXIV: Salah percaturan bawa padah kepada pasukan wanita

PERCATURAN menurunkan pemain utama, Beh Lee Wei sebagai perseorangan kedua, acara berpasukan ping pong wanita jelas memerangkap diri apabila skuad negara terpaksa akur kepada kelebihan teknikal milik pemain Thailand yang menang 3-2 dalam saingan separuh akhir, semalam.

Apapun, kegagalan itu tetap membutirkan pingat gangsa untuk barisan muda negara di Kompleks Beli-belah Plaza Klang, di Korat bagi edisi kali ini.

Jurulatih skuad wanita, Hao Peishu, sebelum ini meletakkan Lee Wei sebagai perseorangan utama ketika saingan awal peringkat kumpulan tetapi menukar strategi menyedari perseorangan utama Thailand, Komwong Nanthana, sukar ditewaskan.


Dalam permainan pertama, Nanthana nyata tidak mempunyai masalah untuk menewaskan pemain kebangsaan, Chiu Soo Jin, 11-15, 11,7, 11-7 dan perlawanan kedua menyaksikan Lee Wei bangkit menyamakan kedudukan untuk Malaysia meskipun terpaksa dikerah sehingga ke tie-break.

Lee Wei terpaksa mengatasi tekanan sokongan padu terhadap lawannya, Muangsuk Anisara untuk menang di set pertama 11-7 tetapi tewas dua set selepas itu 11-13, 12-14, sebelum bangkit memastikan kemenangan pada dua lagi set terakhir, 11-8, 11-5.

Kejayaan Lee Wei dituruti Ng Sock Khim yang berjaya menumpaskan Rattanaprayoon Suttilux selepas lima set 14-12, 11-9, 7-11,7-11, 12-10, membuka peluang untuk pasukan Malaysia mencipta kejutan untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat.

Namun, Lee Wei yang turun kali kedua untuk berdepan dengan Nantaha, gagal menyaingi kelebihan perseorangan tuan rumah itu dan dia tewas 11-9, 12-14, 9-11, 9-11. Chiu Soo Jin yang turun dalam permainan kelima, gagal menyerlah apabila tewas 7-11, 11-5, 11-5.

“Memang sayang kerana kita melepaskan peluang ini. Kita sebenarnya mampu menyaingi mereka tetapi nasib tidak begitu baik. Saya diarahkan untuk mendapatkan mata kemenangan Malaysia, tetapi gagal melaksanakan,” kata Lee Wei.


Berita Harian

No comments: