Thursday, December 6, 2007

Sukan Sea XXIV: Mew Choo, Eei Hui cedera

Jejas peluang negara raih emas

KECEDERAAN yang menimpa perseorangan wanita Wong Mew Choo serta Chin Eei Hui yang kemungkinan besar tidak akan beraksi dalam Sukan Sea XXIV ternyata memerangkap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila hanya memilih dua pemain senior itu untuk ke Korat.

Pada ketika Malaysia begitu yakin dapat memenangi dua emas melalui Mew Choo serta Eei Hui dan gandingannya Wong Pei Tty, kini keyakinan itu kian pudar dengan berita kecederaan yang menimpa kedua-duanya.

Apa yang lebih malang lagi adalah daripada sasaran dua emas, skuad badminton kemungkinan besar pulang dengan tangan kosong kerana tiada pengganti mantap kerana skuad Sukan Sea terutama acara wanita dibarisi pemain pelapis.


Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MNS) Datuk Zolkples Embong jelas kecewa dengan berita kecederaan Mew Choo dan Pei Tty kerana beliau adalah orang yang bertanggung jawab menuntut BAM menurunkan dua pemain wanita itu yang mempunyai peluang memenangi emas.

Sebelum ini, BAM mahu membariskan semua pemain pelapis dengan alasan merehatkan pemain utama untuk tumpuan kelayakan Olimpik.

"Jelas kita terperangkap dengan percaturan sendiri," kata Zolkples kepada pemberita selepas melawat latihan pasukan memanah di padang latihan Universiti Teknologi Suranaree, semalam. "Sekarang ini kita tiada pengganti kepada dua pemain ini.

"Memang saya kecewa kerana saya yang meminta BAM untuk mengubah senarai pemain mereka dengan memasukkan Mew Choo serta beregu Eei Hui-Pei Tty selepas mereka hanya mahu menyenaraikan pemain pelapis.

"Saya berpendapat dua pemain ini mempunyai peluang baik untuk memenangi emas pada Sukan Sea. Sebenarnya MSN tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa atlit yang terpilih ke sukan bertemasya kerana ia ditentukan oleh persatuan sukan masing-masing," katanya.

Namun, alasan yang diberikan BAM itu begitu cetek. Gergasi badminton Indonesia memilih menurunkan skuad utamanya sedangkan ranking dunia pemainnya tidak begitu memuaskan tetapi masih mahu memastikan kemenangan besar di Sukan Sea.

Begitu juga Thailand dan Singapura, masing-masing turun dengan pemain utama masing-masing berbanding BAM yang memilih jalan berlainan kerana mahu menumpukan seluruh usaha kepada Sukan Olimpik - yang hanya akan bermula Ogos tahun depan.

Berita Harian

No comments: