Friday, December 7, 2007

Pembukaan gilang-gemilang


KETUA Kontinjen Malaysia, Datuk Zainal Abidin Ahmad bersama pembawa Jalur Gemilang, Roslinda Samsu berjalan masuk semasa perarakan kontinjen-kontinjen pada majlis perasmian Sukan SEA 2007 di Stadium Keputeraan Raja Thai Ke-80 di Korat, Thailand, semalam. – Gambar ASWAD YAHYA.

KORAT – Temasya Sukan SEA Edisi Ke-24 dibuka secara rasmi di sini semalam dengan dianggap paling istimewa dalam sejarah enam kali Thailand menjadi tuan rumah kerana temasya dwi-tahunan terbesar di rantau Asia Tenggara itu kali ini dilangsungkan hampir serentak dengan sambutan Keputeraan Raja Thai Ke-80.

Malah pemilihan Wilayah Nakhon Ratchasima sebagai gelanggang Sukan SEA kali ini khusus dibuat untuk memeriahkan lagi sambutan hari kelahiran Raja Bhumibol Adulyadej, raja paling lama memerintah di dunia.

Bagaimanapun acara pembukaan rasmi Sukan SEA semalam tidak disempurnakan Raja Bhumipol sendiri sebaliknya diambialih oleh Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn yang mewakili bapanya yang uzur dan agak keletihan kerana menghadiri aturcara padat sempena sambutan hari lahirnya sejak kelmarin.

Dengan bertemakan ‘Semangat, Setiakawan dan Perayaan’ serta maskot kucing ‘maeo si sawat’, acara pembukaan tetap berlangsung meriah dan penuh warna-warni apabila Stadium Utama Keputeraan Raja Thai Ke-80 yang boleh memuatkan 40,000 orang mula penuh sesak seawal pukul 4 petang (3 petang waktu Malaysia) lagi.

Acara bermula pukul 6.15 petang waktu tempatan dengan persembahan yang bertajuk ‘The Journey of SEA Games to Korat’ mula membuka tirai diikuti empat lagi persembahan kebudayaan menarik yang membabitkan 8,793 pelajar daripada 35 institusi pendidikan di Korat ini.

Antara persembahan tersebut ialah menyanjung pemerintahan Raja Bhumibol, pengkisahan tentang legenda tempat bersejarah Phu Mai Ruin dan pembukaan awal bandar Korat.

Selepas itu 11 kontinjen negara yang mengambil bahagian pada temasya kali ini mula berarak masuk dengan didahului Brunei Darussalam.

Kontinjen Malaysia yang tampil segak berpakaian ‘Harimau Malaya’ masuk sebagai kontinjen kelima selepas Brunei, Kemboja, Indonesia dan Laos sebelum diikuti Myanmar, Filipina, Singapura, Timor Leste, Vietnam dan akhir sekali tuan rumah, Thailand.

Mengetuai kontinjen negara ialah pembawa bendera, Roslinda Samsu dari sukan lompat berpagar wanita negara dan ketua kontinjen, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Kemuncak kepada acara pembukaan rasmi semalam pastinya pengumuman pembukaan rasmi oleh Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn diikuti upacara menaikkan bendera Persekutuan Sukan SEA (SGF) dan pernyalaan obor sebagai tanda bermulanya temasya secara rasmi.

Dua atlet legenda Thailand iaitu pemenang pingat gangsa acara tinju lelaki Sukan Olimpik Athens 2004, Suriya Prasathinpimai dan atlet angkat berat dan wanita pertama Thailand yang memenangi emas di Sukan Olimpik 2004, Leftenan Udomporn Polsak diberi penghormatan menyalakan obor temasya.

Sebanyak 5,200 atlet daripada 11 buah negara Asia Tenggara mengambil bahagian pada temasya kali ini yang mempertandingkan 43 acara kesemuanya serta menawarkan 475 pingat emas untuk direbut.

Malaysia yang menghantar atlet teramai dalam sejarah Sukan SEA iaitu 723 orang di samping 307 pegawai mensasarkan 64 pingat emas untuk dibawa pulang daripada Korat.

Wilayah Nakhon Ratchasima atau lebih dikenali masyarakat tempatan sebagai Korat terletak kira-kira 273km di timur laut Bangkok.

– Utusan

No comments: