Friday, December 7, 2007

Insentif menanti atlet negara


BARISAN atlet Malaysia berjalan megah sewaktu sesi raptai untuk acara pembukaan di perkampungan Sukan SEA di Korat, Thailand.

KUALA LUMPUR – Atlet negara bukan saja bakal menikmati insentif daripada Majlis Sukan Negara (MSN) jika beraksi cemerlang pada Sukan SEA yang sedang berlangsung, malah turut dijanjikan ganjaran lumayan oleh syarikat insurans Manulife Insurance (Malaysia) Berhad (Manulife Malaysia).

Manulife dalam kenyataan akhbar semalam berkata, insentif RM40,000 akan diberi kepada atlet yang berjaya mencatat aksi baik sepanjang Temasya 6-15 Disember itu.

“Atlet individu atau berpasukan yang mempamerkan prestasi cemerlang akan menerima ganjaran tunai di bawah anugerah Atlet Sukan Terbaik Manulife/Majlis Olimpik Malaysia.

“Standard pertandingan antarabangsa seperti Sukan SEA sudah semakin meningkat, jadi kami berminat menyokong atlet Malaysia ketika mereka berusaha mencapai kemampuan terbaik,’’ kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Manulife Malaysia, Peter Robertson.

Menurut Robertson berkata, mereka berharap insentif ini mampu memberi motivasi kepada atlet negara untuk melakar kejayaan yang lebih besar pada peringkat antarabangsa.

Sementara itu, setiausaha kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, antara kriteria yang bakal diambil kira untuk menerima insentif ini adalah kemenangan pingat emas, bilangan pingat, selain kejayaan memecah rekod kebangsaan atau temasya.

“Selepas tamat Sukan SEA, satu jawatankuasa pemilih terdiri daripada pegawai-pegawai MOM akan menyenarai pendek penerima-penerima Anugerah Atlet Sukan Terbaik Manulife/Majlis Olimpik Malaysia dan senarai terakhir kemudian akan dipersetujui dengan Manulife Malaysia.

“Komitmen Manulife terhadap pembangunan sukan di Malaysia adalah diiktiraf dan sangat dihargai oleh atlet Malaysia. Mereka merupakan penyokong kuat MOM dan kami sungguh gembira dapat bekerja rapat dengan mereka,’’ kata Kok Chi.

Utusan

No comments: