Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: SGF digesa bertindak tegas

Isu negara sewenang-wenang tarik diri atau menambah acara dalam Sukan Sea


MALAYSIA menggesa Persekutuan Sukan Sea (SGF) supaya mengambil tindakan tegas terhadap negara yang bertindak sewenang-wenangnya menarik diri atau menambah acara pada temasya Sukan Sea pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Liow Tiong Lai, berkata badan induk Sukan Sea itu perlu membuat pendirian tegas tanpa memilih kasih selain memastikan notis mengenainya perlu terlebih dulu dikeluarkan bagi mengelak sebarang masalah.


"Masalah penarikan diri daripada acara sukan bukan baru malah ia turut berlaku pada Sukan Olimpik. Mereka perlu melaksanakan peraturan ketat mengenainya dan mengeluarkan notis terlebih dulu kepada negara yang mengambil bahagian.

"Bagaimanapun, tindakan yang diambil perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak hanya membabitkan negara tertentu saja," katanya semalam mengulas mengenai laporan menyatakan Majlis Olimpik Thailand (OAT) mahu mengenakan tindakan ke atas negara yang menarik diri pada saat akhir daripada acara yang dipertandingkan.

Tiong Lai turut merujuk bagaimana Singapura menarik diri pada saat akhir acara skuasy wanita, menyaksikan pemain negara, Sharon Wee tidak dapat menyumbang emas untuk pasukan negara kerana acara itu terpaksa dibatalkan kerana kurang penyertaan.

Sebelum ini, media Thailand mendesak OAT untuk mengambil tindakan terhadap negara tertentu dengan merujuk Malaysia yang menarik diri daripada acara sepak takraw dan acara olahraga.

Mengulas isu sama, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaa'far, berkata MOM menyokong pendirian itu bagi memastikan kewibawaan SGF tidak tercalar.

Sementara itu, Timbalan Presiden MOM, Datuk Dr M Jegathesan, berkata mesyuarat SGF membuat ketetapan dan meluluskan resolusi melarang negara tuan rumah sewenang-wenangnya membatalkan atau mengubah acara yang sebelum ini sudah diluluskan.

"Ini berikutan bantahan pesilat negara yang membantah tindakan tuan rumah mengugurkan empat acara, tiga jam sebelum saingan berlangsung. Mujur SGF memang dijadualkan bermesyuarat, lalu menerima bantahan yang dibuat pasukan negara.

"SGF kini mengeluarkan notis berkaitan perkara itu dan ia sudah pun diedarkan," katanya.

Tindakan pantas itu membolehkan pasukan silat kebangsaan kembali berada pada landasan memburu tiga emas selepas dikejutkan dengan pengguguran acara berkenaan pada saat-saat akhir.

Pengurus pasukan silat, Osman Nok, sebelum itu menghubungi Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, dan perkara itu berjaya ditangani dengan semangat persahabatan Asean.

Berita Harian

No comments: