Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: NOC perlu bertanggungjawab

DIHIMPIT dengan isu penarikan diri pasukan atlit pada saat akhir terutama pasukan sepak takraw Malaysia dan Myanmar, Persekutuan Sukan Sea (SGF) akan mengenakan tindakan terhadap Jawatankuasa Olimpik (NOC) negara masing-masing dalam usaha membanteras gejala ini.


Keputusan itu pada dasarnya dipersetujui ketika mesyuarat SGF di Korat dengan badan induk itu bertegas untuk tidak melayan lagi kerenah pasukan yang menarik diri pada saat akhir hingga menjejaskan penganjuran temasya dwitahunan itu seperti yang berlaku sekarang.

"Kami pada dasarnya bersetuju untuk menghukum NOC negara terbabit jika atlit atau persatuan menarik diri daripada pertandingan pada saat-saat akhir hingga menjejaskan penganjuran temasya," kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Thailand, Charoen Wattanasin.


Sebelum ini, tiada peruntukan dalam peraturan SGF terhadap bentuk tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku penarikan diri saat akhir atlit bertanding pada Sukan Sea.

Keputusan itu tampak ada kaitan dengan kontroversi dicetuskan Malaysia akibat penarikan diri dalam acara sepak takraw kerana enggan menggunakan bola bersalut getah yang diperkenalkan untuk temasya ini. Myanmar turut menarik diri daripada acara berpasukan sepak takraw atas alasan yang sama.

Pada masa sama, turut wujud dakwaan Malaysia menarik dari daripada beberapa acara olahraga iaitu 800 meter lelaki dan 200 meter wanita tetapi ia pantas dijelaskan pengurus pasukan Lt S Anthonysamy.

"Sebenarnya kita tidak menarik diri cuma tidak menurunkan atlit dalam acara 800m kerana mahu menumpukan kepada 1,500m," kata Anthonysamy. "Acara 800 dan 1,500m terlalu dekat dan kita mempunyai peluang baik dalam acara 1,500m. Oleh itu, kita memilih untuk merehatkan atlit.

"Bagi acara 200m wanita, seorang pelari kita mengalami kecederaan iaitu Yee Yi Ling dan kita mahu menggantikannya dengan pelari lain tetapi tidak dibenarkan oleh penganjur," katanya.

Sementara itu, Bangkok dipilih menjadi lokasi pejabat penyelaras tetap untuk SGF yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang alamat, bagi membolehkannya bertindak seiringan dengan perkembangan dunia selain mempunyai nilai perundangan.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk M Jegathesan, berkata Bangkok dipilih kerana ia menjadi tempat lahir Sukan Sea yang ketika itu dikenali sebagai Sukan Seap.

"Kerajaan Thailand turut bersetuju menyediakan tapak serta membayar gaji sebahagian daripada pegawai tetap di pejabat berkenaan. Sebelum ini, sekretariat SGF tidak mempunyai alamat tetap menyaksikan kita tidak dapat memeterai kontrak perjanjian atau melakukan pemasaran," katanya.

Beliau turut mengumumkan SGF akan menyampaikan anugerah tertinggi SGF iaitu Atlit Diraja kepada Raja Thailand, Raja Bhumibol sempena ulang tahunnya yang ke-80 selepas memenangi pingat emas acara perahu layar Sukan Sea 1967.

Pada mesyuarat SGF semalam, Indonesia turut dipilih menjadi penganjur Sukan Sea 2011 yang bakal diadakan di empat bandar raya utama negara itu iaitu di Palembang, Jakarta, Surabaya dan Bandung selain menyatakan sejajar dengan perkembangan semasa, SGF akan menganjurkan Sukan Sea Belia pada 2011.

Berita Harian

No comments: