Tuesday, December 11, 2007

KOAM buat Latif berang

Kesilapan pendaftaran buat pelari pecut itu kempunan aksi 100m


MOHD Latif Nyat tidak dapat menahan kemarahannya terhadap Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan menganggap badan induk ini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kesilapan pendaftaran yang menyaksikan dirinya tersisih daripada acara 100 meter lelaki.

Terasa seperti diperlekeh dan persenda serta haknya dirampas, Latif tidak lagi dapat menahan kata-katanya apabila begitu lantang membidas KOAM kerana gagal meletakkan namanya sebagai pelari 100m sedangkan dia dimaklumkan akan memikul beban sebagai pelari deras utama negara.


"Saya kecewa dan marah dengan apa yang berlaku," kata Latif. "Saya tidak ada semangat untuk berlari kerana rasa sudah dipermainkan oleh KOAM. Sebelum ini mereka memaklumkan saya akan berlari dalam 100m tetapi semalam saya dimaklumkan nama saya tidak ada dalam senarai dan mereka tidak dapat menukar pelari.

"Sepatutnya KOAM perlu bertanggungjawab dalam memastikan semua pendaftaran berjalan lancar. Ini mereka baru mahu menukar ketika mesyuarat pengurus pasukan, tetapi ditolak penganjur.

"Sebenarnya tempat saya adalah dalam acara 100m sebentar tadi. Saya tidak faham kenapa boleh jadi begini seolah-olah seperti saya dipermainkan sedangkan saya membuktikan diri antara dua pelari pecut terbaik negara," katanya.

Kelmarin, jurulatih pecut Harun Rasheed memaklumkan Latif dan Mohammad Noor Imran Abd Hadi akan mengisi dua slot bagi acara 100m sedangkan dalam senarai pendaftaran KOAM meletakkan nama Imran dan Zabidi Ghazali kepada penganjur.

Bagaimanapun, KOAM memberikan versi berbeza dengan menyatakan mereka tidak pernah menjanjikan tempat 100m kepada Latif sebaliknya sudah memutuskan bahawa Terbuka Thailand adalah pemutus tempat ke Sukan Sea dengan Imran dan Zabidi menjadi pemenang.

"Kami tidak pernah menyatakan Latif akan berlari dalam 100m," kata pengurus pasukan Lt S Anthonysamy.

"Jurulatihnya (Harun) yang berkata demikian. KOAM sudahpun membuatkan keputusan Terbuka Thailand menjadi pemilihan terakhir ke Sukan Sea dan ketika itu Imran dan Zabidi adalah dua pelari terbaik.

"Tetapi kemudian Latif mencatatkan masa baik dan konsisten. Kami cuba untuk menukar namanya ketika mesyuarat pengurus pasukan semalam tetapi penganjur menolak. Dalam hal ini tangan kami terikat dan tidak mampu berbuat apa-apa."

Apa yang diharapkan ialah Latif melupakan kekecewaan dan kemarahannya kepada KOAM dan membantu kuartet 4x100m memenangi emas.

BH

No comments: