Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: Atlit triatlon, duatlon jadi mangsa keadaan

AKIBAT sikap tidak profesional sekretariat yang mengendalikan kehadiran atlit luar negara pada Sukan Sea Korat kali ini, lapan atlit negara terpaksa mengorbankan latihan mereka gara-gara terlewat sampai ke hotel penginapan di Pattaya City, semalam.

Empat atlit masing-masing bagi acara triatlon dan duatlon terpaksa menunggu hampir tiga jam di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok sebelum diberi pengangkutan ke Pattaya pada kira-kira jam 8.30 malam.

Pengurus pasukan negara, Lau Kong Yew, berkata mereka sepatutnya tiba lebih awal ke tempat penginapan di Jomtien Beach Hotel, Pattaya selepas mendarat di Bangkok pada kira-kira jam 5.30 petang.


Bagaimanapun, katanya, akibat sikap tidak profesional tuan rumah yang mengendalikan aspek pengangkutan, mereka terpaksa menunggu tiga jam sebelum dibawa ke Pattaya.

"Kami hanya sampai kira-kira jam 11.30 malam tadi dan tidak sempat mengadakan latihan sedangkan sepatutnya kami akan mengadakan latihan ringan pada lewat petang.

"Selain itu, atlit juga tidak dapat menjalani latihan bagi membiasakan diri dengan keadaan di sini kerana keletihan pada pagi tadi (semalam) dan mereka hanya dapat memanaskan badan," katanya.

Selain itu, atlit negara juga tidak dibekalkan dengan makanan sepanjang tempoh menunggu sehingga mereka mendapat tempat penginapan di Pattaya yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Bangkok.

Perkara itu, menurut Lau memberi kesan kepada atlit khususnya bagi acara dualthon yang akan bersaing terus ke acara final hari ini manakala bagi acara triatlon, semua acara akan berlangsung esok.

"Mereka semua OK cuma keletihan dan saya minta mereka banyak berehat dan berikan tumpuan terhadap final esok," katanya.

BH

No comments: