Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: Skuad lelaki intai peluang separuh akhir

SKUAD futsal lelaki negara mencerahkan peluang ke separuh akhir apabila membelasah Filipina 8-4 dalam perlawanan pertama Kumpulan B di Indoor Stadium, Sports Authority of Thailand, dekat Bangkok, semalam.


Kapten negara, Addie Azwan Zainal mencipta tiga gol sambil Muhammad Fadzil Yusof menjaringkan dua gol manakala satu gol masing-masing sumbangan Muizzudin Mohd Haris, Mohd Ruzaley Abd Aziz dan Mohamad Feroz Ab Karnin.

Malaysia jelas menguasai permainan pada babak pertama apabila mendahului 7-0 tetapi kealpaan pada babak kedua menyaksikan Filipina bangkit untuk mendapatkan empat gol.


"Pemain ada melakukan kesilapan tetapi kita akan perbaiki pada perlawanan seterusnya menentang Myanmar esok (hari ini).

"Pada penghujung perlawanan, saya menukar pemain untuk mencari gandingan terbaik bagi perlawanan seterusnya. Oleh itu, rentak perlawanan jadi berbeza dan Filipina dapat menjaringkan gol.

"Bagaimanapun, secara keseluruhan, pemain bermain baik hari ini dan ia akan menaikkan moral mereka bagi menghadapi perlawanan seterusnya mencari mata penuh," kata jurulatih negara, P Balakrishnan.

Bagi saingan Sukan Sea kali ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Thailand, Filipina dan Myanmar manakala Kumpulan B menyaksikan saingan Indonesia, Vietnam dan Laos dengan dua pasukan terbaik akan mara ke separuh akhir.

Sementara itu, skuad futsal wanita memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan apabila menang tipis 3-2 mengatasi Filipina.

Namun kebimbangan mula tercetus apabila kapten pasukan, Shahilah Mohd Yunos terpaksa dikejarkan ke hospital kerana kecederaan akibat rempuhan keras pemain lawan.

Shahilah kini masih ditempatkan di wad berikutan dia juga sebelum ini dilaporkan mengalami masalah jantung yang dikenalpasti selepas pemeriksaan normal untuk atlit ke Sukan Sea di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil.

Pengurus pasukan, Zulkifli Shahari, berkata laporan awal mendapati Shahilah cedera di bahagian kanan pinggangnya dan terpaksa ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.

"Sebelum ini doktor juga tidak menggalakkan dia bermain kerana masalah jantung itu, tetapi kecederaan kali ini bukan berkaitan jantung tetapi hanya otot yang lebam," katanya.

Dalam perlawanan semalam, tiga gol negara disumbangkan Nurul Azlina Mohamad, Noor Asyikin Mohd Noor dan Norhaniza Mohamad yang menjadi bekal berguna sebelum pertemuan dengan lawan lebih lemah, Laos hari ini.

BH

No comments: