Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: Istaf bincang gantung PSM dua Sukan SEA

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dikatakan sedang mengkaji kemungkinan melarang Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) daripada mengambil bahagian untuk dua Sukan Sea yang akan datang.

Sumber rapat Istaf menyatakan, perkara itu sedang dibincangkan anggota Istaf selepas PSM bertindak mencipta sejarah hitam sukan itu dan menconteng arang di muka badan induk berkenaan kerana menarik diri daripada Sukan Sea Korat kali ini pada saat akhir kerana membantah penggunaan bola baru yang disaluti getah.

"Perkara itu ada dibincangkan pegawai Istaf secara sulit dan pada masa sama, mereka sedang berusaha memujuk Myanmar supaya tidak menarik diri daripada acara lelaki berpasukan pada Sukan Sea ini," kata sumber itu yang tidak mahu namanya didedahkan atas alasan tidak mahu memburukkan lagi krisis itu.


Pada sidang akhbar Selasa lalu, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abd Halem Kadir menyatakan setakat ini badan induk itu tidak akan mengambil tindakan terhadap PSM dan menyerahkan perkara itu kepada Persekutuan Sukan Sea (SGF) atau Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk mengambil tindakan.

Bagaimanapun, sumber itu menyatakan, Istaf sedang mengkaji dan membincangkan untuk mengenakan hukuman berat ke atas PSM.

PSM sebelum ini mendakwa bola baru yang bersalut getah dan digunakan buat pertama kali sepenuhnya di Korat, tidak diluluskan mengikut prosedur selain negara anggota Istaf tidak diberi tempoh yang sewajarnya bagi menguji bola berkenaan.

Sumber itu berkata, andai Istaf mengenakan hukuman itu kepada PSM, tidak diketahui sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak kerana tiada sebarang peruntukan perundangan yang jelas bagi menghalang PSM menyertai acara yang dianjurkan oleh ahli gabungan Olimpik dunia.

"Andai sistem bola sepak dijadikan panduan, sesebuah negara itu terlepas daripada dikenakan hukuman daripada Fifa selaku badan induk bola sepak, andai negara itu menarik diri daripada acara yang dianjurkan Majlis Olimpik Dunia (IOC).

"Namun negara terbabit bakal dikenakan tindakan berat andai kejohanan itu dianjurkan sendiri oleh Fifa.

“Dalam konteks ini, sepak takraw adalah acara yang dianjurkan oleh SGF dan tidak diketahui sama ada kaedah bola sepak ini termasuk dalam kamus Istaf," katanya.

Berita Harian

No comments: