Tuesday, December 11, 2007

Malaysia yakin mampu tewaskan Singapura

Sathianathan percaya anak didik sudah sedia sajikan aksi terbaik


SELEPAS barisan pertahanan kembali padu dan jentera serangan tampak sudah menemui sentuhannya, skuad bola sepak lelaki negara menuju perlawanan hidup-mati menentang Singapura penuh bersemangat dan berbekal keyakinan mampu mengatasi pasukan tetangga ini, hari ini.

Diperkuatkan dengan kehadiran semula pertahanan Aidil Zafuan Abd Radzak berganding dengan S Subramaniam yang beraksi cemerlang dalam dua perlawanan pertama Malaysia dalam Kumpulan B, jurulatih B Sathianathan mengharapkan anak buahnya akan lebih disiplin kali ini.


Dengan barisan serangan diterajui Safee Sali, yang menyumbang dua gol setakat ini, Sathianathan mempunyai keyakinan Malaysia sudah bersedia untuk menampilkan permainan terbaiknya untuk memastikan tiket ke separuh akhir.

"Saya berharap pemain memperkukuhkan lagi benteng pertahanan dan lebih berdisiplin dalam permainan mereka," kata Sathianathan ketika sesi akhir latihan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand, semalam. "Selain itu serangan juga perlu lebih tajam untuk menyempurna peluang dengan lebih baik.

"Pada masa sama, saya juga mengingatkan pemain supaya berhati-hati dengan serangan pantas penggempur Singapura dan perlu cepat menutup ruang.

"Saya lihat moral dan semangat pemain cukup tinggi dan mereka mengetahui ini adalah perlawanan sangat penting yang menuntut mereka melakarkan kemenangan. Dan mereka juga tahu perlawanan dengan Singapura selalunya sengit dan sebab itu pemain saya perlu berdisiplin dan jangan mengikut emosi," katanya.

Skuad kebangsaan melakarkan satu kemenangan serta satu kekalahan dan menuju pertemuan penting dengan Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan B dengan hanya kemenangan bakal memastikan mereka layak ke separuh akhir.

Selepas kekalahan 3-1 kepada Vietnam, Malaysia bangkit mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Laos dan untuk menduduki tempat kedua Kumpulan B di belakang Singapura.

Dengan Sathianathan tampak sudah menyenaraikan kesebelasan utamanya, apa yang penting sekarang mereka akan dapat mengatasi Singapura, seperti yang dilakukan kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam Pestabola Merdeka yang berpihak kepada Malaysia 3-1.

"Kita menang perlawanan itu tetapi pertemuan kali ini berbeza," kata Sathianathan. Ia tidak mudah dan saya akan mengingatkan pemain jangan terlalu beremosi hingga mereka lupa kepada disiplin dan strategi."

Bagi Sathianathan, pemainnya perlu mengawal kemas pergerakan penyerang Khairul Amri dan Agu Casmir yang mampu mengecewakan harapan pasukan Malaysia.

Senarai kemungkinan

Malaysia: Syed Adney Syed Hussein: Sumardi Hajalan, Aidil Zafuan Abd Razak, S Subramaniam, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Amirulhadi Zainal, Safiq Rahim, Mohd Bunyamin Umar, Khyril Muhymeen Zambri, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha.

Singapura: 1 Hassan Sunny, Shariff Samat, Baihakki Khaizan, Shaiful Esah, Hafiz Osman, Ridhuan Muhammad, Fazrul Nawaz, Tengku Mushadad, Shahril Ishak, Khairul Amri, Agu Casmir

Berita Harian

No comments: