Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: Anak didik Sarjit tekad ungguli saingan

PERSEMBAHAN tidak menentu apabila tewas lima daripada enam perlawanan pada kempen Trofi Juara-Juara mahu dipadamkan anak-anak buah Sarjit Singh dalam perlawanan pertama skuad hoki negara pada Sukan Sea Korat bertemu Myanmar di Queen Sirikit Sports Center, Pathum Thani, hari ini.


Myanmar dilihat sebagai lawan kerdil buat skuad negara yang kini berkedudukan ranking ke-15 dunia yang mahu terus mendominasi sukan itu buat negara sejak Sukan Sea 1971.

Oleh itu, K Keevan Raj, K Logan Raj dan S Kuhan yang juga pemain senior kebangsaan akan mengemudi pasukan bagi memburu kemenangan pertama, sebelum diperkuatkan kemudian dengan kehadiran tiga lagi pemain menjelang pertemuan ketiga bertemu Thailand pada 10 Disember ini.


Pengurus pasukan, Shurizan Mansor, berkata skuad negara sudah mencuba gelanggang pertandingan semalam untuk membiasakan diri dengan cuaca panas di sekitar Bangkok, ketika ini.

"Myanmar bukan masalah besar buat kita, cuma kami perlu membiasakan diri dengan keadaan di sini. Sebenarnya kami mahu membuktikan kembali pasukan kebangsaan mampu melakukannya walaupun kita tidak begitu menyerlah dalam Trofi Juara-Juara.

"Kerana itu, kami akan membawa tiga lagi pemain ke sini pada 10 Disember nanti iaitu Khairulnizam Ibrahim, Baljit Singh dan Nabil Fikri untuk memperkuatkan pasukan," katanya.

Ditanya mengenai skuad kali ini yang dikatakan sebagai pasukan kedua, Shurizan berkata, sebenarnya Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) menghantar pasukan terbaik ke Sukan Sea kali ini kerana semua pemain yang disenaraikan adalah terdiri daripada 30 pemain terbaik negara.

Katanya, daripada jumlah itu separuh daripadanya menyertai Trofi Juara-Juara dan mereka yang tidak disenaraikan akan mengisi tempat ke Sukan Sea.

"Gabungan pemain kali ini cukup bersedia dan berpengalaman, dan kehadiran tiga lagi pemain utama itu bersama jurulatih Sarjit diharap mampu membawa pasukan ke final sekali lagi kali ini," katanya.

Skuad negara, kata Shurizan, mahu mengelak berulangnya kekecewaan pada penampilan 1973 apabila tewas buat kali pertama sepanjang sejarah gemilang mereka yang melakukan penampilan pertama pada Sukan Sea 1971.

Kali terakhir skuad hoki negara menyertai Sukan Sea ialah di Kuala Lumpur pada 2001 apabila meraih emas dipertandingkan dalam acara lelaki dan wanita.

Berita Harian

No comments: