Tuesday, December 11, 2007

Shalin ingin tambah koleksi

Turun gelanggang selepas enam tahun menyepi daripada Sukan Sea


SELEPAS enam tahun menyepi daripada Sukan Sea, ratu bowling negara, Shalin Zulkfli kembali ke Sukan Sea Korat untuk penampilan semulanya dalam acara perseorangan yang bermula hari ini di SF Strike Bowl, Bangkok.

Walaupun skuad negara hanya mensasarkan kutipan tiga emas seperti dicatat mereka pada Sukan Sea Manila, dua tahun lalu, jelas kekuatan pasukan lelaki dan wanita mampu menghasilkan lebih daripada itu.


Namun, Shalin yang sudah memiliki koleksi 13 pingat emas sepanjang pembabitan dalam Sukan Sea, tetap waspada walaupun temasya terbesar di Asia Tenggara nyata lebih rendah tahapnya berbanding kejohanan lain peringkat dunia.

"Tiada bezanya hadir ke sini kerana ia sama pentingnya dengan kejohanan lain yang kami sertai. Amat penting untuk kami beraksi dengan baik di sini tetapi semuanya terpulang pada prestasi ketika hari pertandingan," kata Shalin.

Shalin menyertai empat Sukan Sea sebelum ini dengan yang terakhir pada Sukan Sea Kuala Lumpur pada 2001 tetapi digugurkan pada 2005 selain tiada acara dipertandingkan pada 2003 di Vietnam.

Katanya, walaupun skuad wanita kali ini sudah tampak terlalu gagah, ia sebenarnya bukan pasukan terkuat milik negara kerana masih ada pemain baru seperti Sharon Koh dan Zatil Iman Abdul Ghani.

"Kami merasai kehilangan Wendy Chai dan kami ada dua pemain baru dalam pasukan. Memang akan ada tekanan buat mereka dan saya rasa mereka akan mengatasinya," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan dia mahu mengulangi pencapaian lima emas seperti dilakukannya di Brunei pada 1999, Shalin pantas mengelak walaupun peluangnya kali ini tampak lebih mudah.

"Memang mudah untuk berkata berbanding untuk melakukannya, dan saya sendiri tidak tahu bagaimana saya melakukannya sebelum ini (Sukan Sea 1999).

"Saya menang lima emas pada 1999 tetapi dua tahun kemudian ketika saya menang empat emas, ramai pula yang berkata prestasi saya merudum dan saya tidak beraksi seperti dikehendaki.

"Tapi bagi saya, menang empat pingat emas adalah satu pencapaian besar," kata Shalin.

Pada penampilan kali ini, Shalin, Sharon dan Zatil akan menyertai Esther Cheah, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Siti Safiyah Abdul Rahman dalam acara perseorangan wanita.

Dan saingan kali ini tampak sekali lagi akan menemukan skuad negara dengan musuh tradisi, Singapura ketika negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina bukan lawan setanding Malaysia.

Berita Harian

No comments: