Tuesday, December 11, 2007

Puteri Alia pasang impian aksi di Grand Prix

KETIKA menyedari dia sudah melakukan disiplin hampir sempurna dalam acara dressage dalam sukan ekuestrian berlangsung di Horseshoe Point, Pattaya City, Puteri Alia Soraya Ahmad Suhaimi jelas tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.

Gembira bukan saja dapat membantu skuad penunggang negara mencipta emas di lapangan sukan golongan elit itu, tetapi juga membuktikan betapa dia sebenarnya layak untuk terus bergiat dengan sukan itu di peringkat lebih tinggi seperti di Sukan Olimpik.

Aksinya yang mencipta pendahuluan selesa buat skuad negara tambah memeranjatkan apabila dia mengatasi rakan senegara yang lebih ternama, Mohd Qabil Mahamad Fathil Ambak.


Apapun, ia tidak membuatkan gadis berusia 27 tahun itu membangga diri malah dia lebih senang dengan peranan lamanya sebagai pemain dalam satu pasukan dan bukannya mencari kemegahan untuk diri sendiri.

"Saya selalunya lebih berperanan membantu sebagai sebuah pasukan dan saya ke sini bukan untuk mencabar sesiapa kerana saya tahu gandingan saya bersama (kudanya) Odurin bukanlah gandingan terbaik," katanya.

Sejak terbabit dalam sukan itu, Alia hanya memiliki dua kuda termasuk seekor milik bekas pengacara, Wan Zaleha Radzi iaitu Chagull Jr yang sudah bersamanya sejak dulu tetapi kini pada usia 24 tahun ia tidak lagi sehebat dulu.

"Kuda yang ada sekarang baru saya miliki tahun ini dan saya sedang melatihnya untuk menyertai Grand Prix. Itulah pengorbanan saya demi minat yang mendalam dalam sukan ini," katanya.

Walaupun sudah memiliki pelbagai kejayaan sejak Sukan Sea 2001 dan yang terakhir pada Sukan Asia 2006 apabila memungut perak acara dressage berpasukan, hajat sebenar Alia jelas masih belum kesampaian.

"Saya mahu menyertai Grand Prix tetapi ia masih belum kesampaian kerana saya tiada penaja sehingga kini. Saya tidak mahu hanya dikatakan sebagai jaguh kampung tetapi tidak berupaya berada pada tahap dunia.

"Bukan saya mahu berkata saya boleh menjadi juara dunia tetapi cukup sekadar seperti ikan sederhana di kolam yang besar," katanya bermadah.

Alia ketika ini berpangkalan di Apledoorn, Belanda dan bekas deejay X-Fresh FM itu sudah meninggalkan kerjayanya di bidang penyiaran hanya untuk membuktikan dia mampu pergi jauh dalam sukan yang amat diminatinya itu.

Dan masih ada yang perlu dilakukan pada Sukan Sea kali ini dengan sasaran pasti tentunya memenangi emas dalam acara dressage individu pula esok yang mampu membuka mata banyak pihak mengenai kemampuan sebenarnya.

BH

No comments: