Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: Trio Malaysia dahului acara berpasukan

SKUAD memanah negara mempamerkan aksi cemerlang untuk mendahului kedudukan selepas berakhirnya pusingan kelayakan 90m dan 70m Recurve lelaki di Universiti Teknologi Suranaree, semalam.

Cheng Chu Sian mencatatkan 634 mata untuk mendahului pemanah Indonesia, Rahmat Sulistyawan dan rakan senegara, Wan Mohd Khalmizam Wan Ab Aziz, yang terikat pada 608 mata manakala pemanah pilihan Muhammad Marbawi Sulaiman, juga dari Malaysia, di tempat keenam dengan 599 mata.

Trio Malaysia itu juga mendahului dalam acara berpasukan dengan gabungan mata 1,841 manakala Indonesia kedua dengan 1,814 mata dan ketiga Filipina (1,779).


Hari ini, semua 32 peserta akan bersaing dalam jarak 50m dan 30m untuk memilih 16 peserta terbaik.

Dalam acara recurve wanita, pemanah Indonesia, Rina Dewi Puspitasari mendahului kedudukan selepas berakhir rutin 70m dan 60m dengan 642 mata manakala Rachelie Anne Carbal dari Filipina dan Yuliana Ika dari Indonesia berkongsi kedudukan kedua dengan 630 mata.

Pemanah negara, S Anbarasi di tempat keempat dengan 623 mata bersama-sama rakan sepasukan Irza Hanie Abd Samah dan Nor Aziera Taip untuk berada di belakang Indonesia dalam acara berpasukan.Indonesia mengumpul 1,876 mata manakala Malaysia 1,818.

Ketika Malaysia agak cemerlang dalam acara Recurve, wakil negara dalam acara Compound agak mengecewakan dalam rutin 70m dan 60m yang diadakan.

Dalam acara individu lelaki, Mohd Kaharuddin Ashah di tempat ke-10 manakala berpasukan lelaki di tempat keenam.

Skuad wanita pula di tempat kelima dalam acara berpasukan dengan Siti Aishah Sudin sekadar di tempat ke-15. Acara itu bersambung hari ini membabitkan jarak 50m dan 30m.

BH

No comments: