Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: Ketiadaan Shu Wai, Shu Man undang padah

KETIADAAN Ng Shu Wai dan Ng Shu Man amat dirasai skuad gimnastik negara gagal mempertahankan emas berpasukan lelaki dimenangi dua tahun lalu apabila sekadar mengutip gangsa kali ini di Stadium Tertutup 1 Kompleks Sukan Ulangtahun ke-80 Raja Thai, semalam.

Dengan dibarisi dua daripada lima gimnas yang memenangi emas di Manila, kepincangan dan kelemahan pasukan muda ini memang ketara dengan banyak kesilapan dilakukan hingga membawa kepada pungutan mata sedikit berbanding pemenang tempat pertama Thailand dan pemenang perak Vietnam.

Skuad Malaysia yang dibarisi Ooi Wei Siang, Lum Wan Foong, Onn Kwan Tung, Mohd Azzam Azmi, Mohd Johari Sharil dan Mohd Azlan Shah sekadar mengutip sejumlah 326.6 mata berbanding Thailand yang mengumpul 341.5 mata dan Vietnam 338.2.


"Kami tidak kecewa dan sudah menjangkakan sukar mempertahankan emas," kata Wan Foong selepas upacara penyampaian hadiah semalam. "Kami sudah memberikan yang terbaik tetapi jelas kita masih belum mantap akibat daripada kehilangan Shu Wai.

"Dan berdasarkan kepada gimnas muda yang ada sekarang sudah tentu ia akan mengganggu prestasi kita. Oleh itu, saya menganggap kedudukan tempat ketiga sudah cukup memuaskan," katanya.

Malaysia memang menjangka sukar mempertahankan emas selepas dua gimnas utamanya Shu Wai dan Shu Man digugurkan daripada pasukan elit kerana masalah disiplin.

"Saya rasa kita harus berpuas hati dengan kedudukan tempat ketiga ini," kata Azzam. "Memang skuad kita kurang mantap tetapi berdasarkan kepada muka baru kali ini, seharusnya tempat ketiga adalah pencapaian membanggakan."


BH

No comments: