Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: Skuad negara sekadar tempat kedua

ACARA wushu memulakan catatan memberangsangkan buat kontinjen negara apabila meraih pingat perak dalam acara duilian lelaki di Institut Teknologi Chanapolkhan, Korat semalam.

Dalam persembahan mantap tetapi akur dengan keputusan yang memihak kepada tuan rumah untuk meraih emas, pasukan negara yang diwakili Lim Yew Fai, Ng Say Yoke dan Wee Jung Jieh, tetap menganggap pingat perak cukup baik untuk mereka.

Ini adalah sumbangan pingat kedua dari Korat selepas pasukan ping pong meraih gangsa Rabu lalu.


Semalam, pasukan kebangsaan meraih 9.50 mata tetapi tewas kepada trio Thailand yang mengumpul 9.52 mata. Pasukan dari Myanmar menduduki tempat ketiga dengan 9.46 mata.

Jurulatih pasukan, Woong Thong Foong, berkata kejayaan dalam acara yang baru diperkenalkan pada Sukan Sea kali ini, jelas membakar semangat skuad negara untuk mempamerkan aksi lebih terpuji selepas ini.

"Kita meraih tempat kedua dengan jurang mata terlalu kecil di belakang Thailand, tetapi akur kerana acara subjektif seperti ini, kebiasaannya akan lebih memihak kepada tuan rumah.

"Persembahan dan gerak atlit cukup memuaskan malah lebih baik berbanding Thailand," katanya ketika merujuk mata pasukan negara yang sekadar dipisahkan 0.02 mata.

Say Yoke berkata, mereka turun ke gelanggang dengan perasaan tenang dan tidak merasakan sebarang tekanan kerana menganggap persembahan mantap lebih utama daripada pingat yang diperoleh.

Berita Harian

No comments: