Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: Noor Imran raih gangsa 100 meter

PADA ketika suasana suram menyelubungi skuad olahraga negara yang menyaksikan atlit negara gagal satu persatu, muncul Mohammad Noor Imran Abdul Hadi menghilangkan kesuraman itu apabila memberikan gangsa dalam acara riben biru 100 meter lelaki di Stadium Utama Kompleks Sukan Ulangtahun ke-80 Raja Thai, Korat, semalam.


Sekalipun hanya di tempat ketiga tetapi pencapaian Imran untuk menyelitkan dirinya di kalangan tiga kelompok terbaik Asia Tenggara adalah sesuatu yang cukup menggembirakan pada ketika Malaysia masih tercari-cari pengganti kepada Raja Pecut 2003, Nazmizan Mohammad.

Dengan mencatatkan masa peribadi terbaik 10.54 saat untuk berada di belakang Suryo Agung Wibowo dari Indonesia (10.25s) dan Wachara Sondee dari Thailand (10.33s), Imran membuktikan dia memiliki potensi untuk melangkah lebih jauh.


"Ini pertama kali saya beraksi dalam Sukan Sea," kata Imran. "Dan untuk memenangi gangsa dalam percubaan pertama, saya rasa sudah cukup bagus buat permulaan karier saya. Mungkin dalam tempoh dua tahun, saya akan kembali dengan lebih hebat.

"Apa yang penting ialah saya berjaya mencapai sasaran untuk memenangi pingat dan mengatasi masa peribadi terbaik saya iaitu 10.64 saat. Saya gembira sekalipun hanya di tempat ketiga," kata anak kelahiran Johor Baru berusia 21 tahun itu.

Seorang lagi peserta negara, Mohd Zabidi Ghazali menduduki tempat ketujuh dengan kepantasan 10.65s.

Pingat gangsa Imran adalah pingat tunggal negara pada hari pertama olahraga dengan pelari pecut wanita, Siti Fatimah Mohammad dan Norjannah Jamaluddin masing-masing menduduki tempat kelima dan ketujuh dalam perlumbaan akhir dengan tempat pertama dimenangi juara bertahan, Vu Thi Huong dari Vietnam yang mencatatkan 11.47s.

Bagi Siti Fatimah, aksi pertama dalam Sukan Sea tidak mengecewakan apabila berjaya mencatatkan masa peribadi terbaik di separuh akhir pada 11.90s dan kemudian 11.96s di final.

"Saya meletakkan diri saya dua tahun lagi untuk kembali menggegar balapan olahraga Asia Tenggara," kata pelari kelahiran Kuala Lumpur itu. "Ini temasya pertama saya dan saya berasa seronok bersaing dengan pelari handalan rantau ini.

"Jurang antara mereka dan saya begitu jauh. Saya seperti orang yang baru hendak bertatih sedangkan mereka sudahpun pandai berlari tetapi ia satu pengalaman bagus buat saya dalam menghadapi saingan mendatang.

"Saya dengar KOAM (Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia) bercadang menghantar atlit berlatih di China dan saya harap akan mendapat peluang itu bagi meningkatkan prestasi saya," katanya.

Dua lagi acara menampilkan atlit Malaysia iaitu lompat kijang dan lontar tukul besi gagal membuahkan sebarang hasil lumayan.

Adi Alifuddin Husain sekadar di tempat keempat dengan balingan sejauh 15.59 meter dalam lontar peluru manakala Ahmad Firdaus Salim hanya menduduki tempat keenam catatan 15.56m dalam acara lompat kijang.

Berita Harian

No comments: