Tuesday, December 11, 2007

Sukan Sea: Putri Alia cetus emas ketiga

PERSEMBAHAN terbaik Putri Alia Soraya Ahmad Suhaimi menghadiahkan sebutir pingat emas buat negara dalam acara dressage berpasukan di Horseshoe Point, Pattaya City, semalam.

Alia yang menunggang kudanya, Odurin mencatat kutipan mata terbanyak 66.756 mata seterusnya membantu gandingan tiga lagi penunggang negara menghimpun sejumlah 194.490 mata bagi mengatasi Indonesia di tangga kedua, manakala tuan rumah, Thailand ketiga.

Skuad negara dibarisi Quzandria Nur Mahamad Fathil Ambak selaku penunggang pertama, Diani Lee Cheng Ni, Alia dan abang Quzandria, Mohd Qabil jelas bukan tandingan dalam acara berkenaan yang sebelum ini dikatakan akan menjadi milik Thailand.


Quzandria yang mengalami masalah kelmarin berikutan kudanya tidak dibenarkan beraksi turut menarik nafas lega apabila boleh beraksi selepas pemeriksaan kedua lantas memungut 62.178 mata untuk berada di tangga ketiga individu.

Bagi Alia, ini adalah kali pertama dia mencipta pungutan mata melebihi Qabil yang juga peserta pilihan untuk memenangi emas acara individu sejak dia menyertai kejohanan antarabangsa pertama pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2001.

"Saya bukan ingin mencabar sesiapa dalam pasukan ini, hanya melakukan yang terbaik untuk negara. Bagi saya kuda beraksi baik hari ini dan ia paling serasi dengan saya.

"Ketika saingan tadi (semalam) saya melakukan sedikit kesilapan kerana terlalu gembira tetapi saya kembali fokus dan berfikiran positif," katanya.

Bagi Qabil pula, dia melakukan kesilapan pada penamat saingan berikutan kudanya, Dexter masih belum benar-benar serasi kerana ia baru dimilikinya sejak sebulan lalu khusus untuk acara dressage.

"Alia menunggang dengan baik hari ini, tiada kesilapan. Saya harap persembahan ini akan berterusan sehingga penamat supaya kami sekali lagi akan berpeluang menang emas dan perak dalam acara individu," katanya.

Selain acara dressage, Qabil juga akan mempertahankan pingat emas dimenanginya dalam acara showjumping individu selepas ini dan dia berharap akan sekali lagi memenangi emas untuk melengkapkan hatriknya selepas kejayaan pada 2001 dan 2005.

Berita Harian

No comments: