Friday, December 7, 2007

Sukan Sea XXIV: Buruan 64 emas bermula


PERSEMBAHAN kebudayaan meriahkan perasmian Sukan Sea ke-24. Artis membuat persembahan kebudayaan pada upacara Pembukaan Rasmi Sukan Ke-24 di Stadium Utama Kompleks Sukan Ulangtahun ke-80 Raja Thailand, Korat malam tadi. Lebih 6,000 atlit dan pegawai akan bertarung sepanjang 10 hari kejohanan.

Semangat harimau - garang, gagah, berani - perlu diterap untuk penuhi impian

DEBARAN penantian selama beberapa bulan sudah berakhir dan selepas tamat upacara pembukaan penuh warna-warni dan gemilang di Stadium Utama Kompleks Sukan Ulangtahun ke-80 Raja Thailand, Korat bermulalah pemburuan pingat emas buat atlit Malaysia yang mengejar sasaran 64 emas Majlis Sukan Negara (MSN).

Dengan sukan ini secara tidak rasmi sudah bermula sejak 26 November lalu dengan menembak menjadi sukan pertama dipertandingkan, kini baki 42 sukan akan dilangsungkan di tiga gelanggang utama iaitu Korat, Bangkok dan Pattaya.

Bagi atlit Malaysia, kini mereka mengejar baki 62 emas lagi, selepas menembak sudah menyumbangkan dua emas lebih awal dan dalam tempoh sembilan hari mendatang bakal memberi gambaran sejauh mana persediaan atlit Malaysia yang dilanda beberapa masalah sebelum tirai temasya disingkap.


Pada hari pertama pertandingan, hari ini, menyaksikan sejumlah 26 emas menjadi rebutan daripada lapan sukan dengan harapan Malaysia untuk meraih sekurang-kurangnya dua emas melalui dressage berpasukan dari cabang ekuestrian dan Siow Yi Ting dalam 200 meter rampaian individu.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong mengakui hari pertama bakal menyaksikan kontinjen negara tidak menambah pungutan emas yang banyak berdasarkan kepada fakta beberapa sukan dan acara yang dipertandingkan hari ini bukan menjadi kekuatan atlit Malaysia.

"Esok kita tidak akan melihat pungutan emas yang banyak daripada atlit Malaysia," katanya di Korat. "Ini kerana sukan dan acara yang dipertandingkan bukan menjadi kekuatan atlit kita atau pun disasarkan untuk menyumbangkan pingat emas.

"Cuma kita mengharapkan kepada dressage berpasukan lelaki untuk memberi emas kepada kita," katanya.

Sukan yang menawarkan emas hari ini ialah olahraga (9), renang (7) snuker dan billiard (1), lumba basikal bukit (2), ekuestrian (1), gimnastik (1), gusti (3) dan petanque (2).

Ketika ini, pungutan emas Malaysia terhenti kepada angka dua dan berada di kedudukan kelima dengan tuan rumah Thailand terus unggul dengan sejumlah 21 emas, disusuli Singapura (10), Vietnam (lapan) dan Myanmar (2).

Hakikatnya, kontinjen Malaysia harus bersedia memerah keringat untuk memastikan sasaran tercapai. Ia juga bakal menjadi petunjuk kepada sejauh mana persediaan atlit Malaysia menghadapi temasya dan tahap mereka di peringkat Asia Tenggara.

Walaupun kontinjen negara ditimpa malang dengan berita kecederaan yang melanda beberapa atlit utama yang boleh menyumbangkan emas, ia tidak seharusnya menggugat semangat serta moral pasukan.

Seharusnya atlit negara menyerap semangat Harimau � garang, gagah dan berani � dan memastikan bendera Jalur Gemilang berkibar megah di Korat.

Berita Harian

No comments: