Monday, December 3, 2007

MOM anggap penarikan skuad sepak takraw belum muktamad


Oleh: A. JAILANI ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Status penyertaan skuad sepak takraw negara pada Sukan SEA 2007 masih belum pasti kata Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, sehingga kini belum ada makluman rasmi dari mana-mana pihak sama ada dari Thailand atau dari Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sendiri sama ada skuad negara sah menarik diri.

Malah, katanya, Thailand selaku penganjur Sukan SEA di Korat sendiri tertanya-tanya mengenai pendirian PSM dalam hal itu dan telah menghubunginya kelmarin untuk mendapatkan kepastian.

“Mereka telah menghubungi saya untuk mengesahkan kedudukan Malaysia sama ada mengambil bahagian atau menarik diri daripada acara sepak takraw. Apa yang saya boleh beritahu mereka ialah selagi tiada surat menyatakan kita menarik diri, maka kita akan bertanding,” katanya.

Menurut Kok Chi, PSM mempunyai tempoh 24 jam sebelum mesyuarat pengurus pasukan dilakukan esok untuk memaklumkan status pasukan mereka.

Kelmarin, Presiden PSM Datuk Ismail, dalam sidang akhbar, memaklumkan bahawa mereka tidak akan menghantar pasukan pada Sukan SEA kali ini – mencatat sejarah kerana buat julung kali Malaysia tidak menghantar pasukan ke temasya dwi tahunan itu.

Ahmad memberi alasan, penarikan diri itu dilakukan kerana gagal dalam bantahan mereka kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) berhubung penggunaan bola baru bersalut getah iaitu Marathon Gen-II, yang didakwa tidak sesuai.

Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Kok Chi.

“Belum ada surat rasmi daripada PSM,” kata Kok Chi mengenai kenyataan Ahmad itu.

Kok Chi seterusnya menasihatkan PSM agar memikirkan semula pendirian mereka dan meminta mereka agar lebih mementingkan semangat kesukanan dan kecintaan terhadap sepak takraw.

“Memenangi pingat ada satu hal, tetapi semangat kesukanan dan mengutamakan kecintaan terhadap sukan itu sendiri yang lebih penting.

“Malaysia adalah negara pengasas sepak takraw, oleh itu adalah penting mereka mereka mengambil bahagian demi sukan itu sendiri,” kata Kok Chi.

Utusan

No comments: